Prosedur Kenal Pasti Mangsa JT610 Dihentikan

2018-11-25 13:36:33  CRI
Share with:

Indonesia menghentikan prosedur mengenal pasti identiti ke­semua mangsa nahas pesawat Lion Air, JT610 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu menerusi cebisan badan yang ditemukan.

Pesawat jenis Boeing 737 Max 8 itu merupakan sebuah daripada pesawat paling baharu di dunia terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang, menyebabkan kesemua 189 penumpangnya termasuk anak kapal terkorban.

Sejak nahas tersebut, pa­sukan penyiasat bertungkus-lumus melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bahagian tubuh serta cebisan mayat mangsa yang ditemukan.

Ketua Pusat Perubatan Polis Kebangsaan Indonesia, Arthur Tampi berkata, sehingga 23 November lalu, sebanyak 125 mangsa sudah dikenal pasti selepas beberapa ujian dilakukan terhadap bahagian tubuh yang dikumpul dalam 200 beg mayat sebelum ini.

Dalam pada itu, Lion Air akan membayar wang pampasan berjumlah USD100,000 (RM419,605) kepada setiap keluarga mangsa nahas.

Perakam data penerba­ngan (FDR) pesawat Lion Air sudah ditemukan, namun pasukan penyelam masih berusaha mengesan perakam suara kokpit (CVR) yang masih belum ditemukan sehingga kini.

Berdasarkan siasatan yang dilakukan, pesawat tersebut mempunyai masalah dengan penunjuk aras kelajuan dan pengesan sudut serang atau AOA yang berfungsi sebagai pengukur sudut pesawat terhadap aliran udara.

(Sumber dari Utusan Online)
张弘