Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping menegaskan perlunya strategi pembangunan kawasan luar bandar dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, ketika menghadiri sesi perbincangan bersama-sama delegasi provinsi Shandong sempena persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) pada Mac 2018.
Xi turut menyuarakan harapan agar provinsi tersebut menyumbang kepada matlamat mengetengahkan negara sebagai gergasi maritim yang kuat.
Sebagai menyahut seruan beliau, Shandong telah mengeluarkan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar 2018-2022, di samping memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sendiri untuk memajukan ekonomi marin.
Shandong memiliki seperenam garis pantai seluruh negara. Untuk membangunkan ekonomi marin, provinsi itu telah memperkenalkan langkah-langkah komprehensif termasuk menggalakkan inovasi teknologi, membina pelabuhan bertaraf dunia dan menjana industri maritim baru muncul.
Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pembangunan Marin Shandong, Li Hu memaklumkan setakat ini, 360 projek yang berkaitan telah diluluskan melibatkan pelaburan berjumlah lebih RMB800 bilion (RM486 bilion).