Pembangunan Berkualiti Diutamakan

2019-03-05 17:05:14  CRI
Share with:

Laporan kerja kerajaan yang dibentangkan kepada Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China untuk dibahaskan telah merumuskan penunjuk utama bagi pembangunan sosioekonomi negara sepanjang tahun.

Ini termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6% hingga 6.5%; pertambahan peluang kerja di bandar dan luar bandar sebanyak 11 juta; kenaikan harga pengguna kira-kira 3%; jumlah penduduk miskin di luar bandar berkurang lebih 10 juta, dan penggunaan tenaga per unit KDNK menurun kira-kira 3%.

Dengan latar belakang pemulihan ekonomi dunia yang masih perlahan, China berdepan risiko input luaran yang makin besar dan tekanan ke bawah terhadap ekonomi domestik. Sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan China adalah selaras dengan realiti semasa dan kondusif bagi mewujudkan pembangunan berkualiti.

Sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, China merekodkan output melebihi RMB90 trilion (RM54.8 trilion) pada tahun lepas. Negara ini kini berada pada tempoh peralihan yang penting, menyaksikan sasaran beralih daripada pertumbuhan pesat kepada pembangunan berkualiti.

Perubahan ini akan membantu China mengatasi cabaran sambil mengekalkan pembangunan yang mampan dan sihat. Pertumbuhan ekonomi pada kadar 6% hingga 6.5% juga menjadikan China enjin kuat bagi pertumbuhan ekonomi dunia.

Untuk merealisasikan matlamat yang dihasratkan, kerajaan China telah menetapkan 10 misi utama, iaitu terus membaharui dan mengoptimumkan kawalan makro, membaiki iklim perniagaan, melaksanakan strategi pembangunan dipacu inovasi, memangkinkan pembentukan pasaran domestik yang kuat, mempergiat usaha membasmi kemiskinan dan kebangkitan kawasan desa, menggalakkan pembangunan terselaras, memperkukuh kawalan pencemaran dan pembangunan ekologi, memperkasakan pembaharuan dalam sektor-sektor utama, memperluas keterbukaan secara komprehensif, dan memajukan urusan sosial.

Setiap misi tersebut mempunyai sasaran dan syarat yang spesifik, sekali gus memperlihatkan kesungguhan China untuk mentransformasikan pertumbuhan ekonominya daripada model yang bergantung pada pelaburan dan perdagangan luar kepada berorentasikan "inovasi, koordinasi, mesra alam, terbuka dan berkongsi".

Dalam menjalankan kerja tahun ini, kerajaan China menekankan betapa pentingnya tiga hubungan ditangani dengan baik, iaitu hubungan antara domestik dengan antarabangsa, menstabilkan pertumbuhan dengan pencegahan risiko, serta kerajaan dengan pasaran.

Tahun ini ulang tahun ke-70 Republik Rakyat China. Walaupun terdapat banyak unsur ketidaktentuan di luar negara, China masih berada pada tempoh penting dalam pembangunannya. Rakyat China akan berjuang dengan bersungguh-sunguh untuk menangani pelbagai risiko dan cabaran, demi mencipta masa depan yang lebih cerah.

覃淼