China Umum Pelan Kurangkan Cukai RMB2T

2019-03-06 18:01:13  CRI
Share with:

Kerajaan China semalam mengumumkan pelan untuk mengurangkan cukai dan bayaran berjumlah hampir RMB2 trilion (RM1.2 trilion) bagi menghadapi suasana pembangunan yang "lebih rumit dan mencabar" pada tahun ini.

Pelan tersebut membawa implikasi yang menjangkau jauh bagi pemain pasaran termasuk rakyat biasa di negara ini, bahkan seluruh dunia.

Menurut laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Li Keqiang pada sidang Kongres Rakyat Kebangsaan, China akan mengintensifkan pembaharuan terhadap cukai nilai tambah, menurunkan kadar cukai bagi sektor perkilangan daripada 16% kepada 13%, serta industri pengangkutan dan pembinaan daripada 10% kepada 9%.

Dengan syarat kadar cukai 6% kekal tidak berubah, kerajaan akan memastikan kredit cukai dalam pengeluaran dan perkhidmatan berkaitan hidup rakyat terus meningkat, sementara beban cukai semua industri tidak dinaikkan.

Dalam pada itu, pencen yang dibayar oleh pihak majikan di kawasan bandar dan pekan diturunkan daripada 20% kepada 16%. 

Laporan kerja kerajaan meramalkan bahawa pelan berkenaan akan mengurangkan beban cukai korporat dan caruman jaminan sosial pada jumlah hampir RMB2 trilion (RM1.2 trilion) sepanjang tahun.

Selain itu, bank-bank utama milik kerajaan perlu menambah pinjaman kepada syarikat kecil dan mikro pada kadar sekurang-kurangnya 30%, di samping jumlah rizab deposit bagi bank kecil dan sederhana akan diturunkan supaya lebih banyak pinjaman dapat diberikan kepada syarikat swasta, mikro dan kecil.

Langkah China mengurangkan cukai dan bayaran ini adalah secara besar-besaran, pragmatik dan jelas, sekali gus membantu mengurangkan beban syarikat dan merangsang kedinamikan pasaran.

Kebelakangan ini, sektor perusahaan China terkena tamparan besar ekoran faktor dalaman dan luaran, hingga mengakibatkan banyak syarikat terbeban dari segi caruman jaminan sosial. Maka, kerajaan memperkenalkan pelan pengurangan cukai RMB1.3 trilion (RM793 bilion) pada tahun lepas, disusuli pelan baharu tahun ini. Langkah tersebut turut mendinamikkan ekonomi sebenar.

Inisiatif kerajaan China mengurangkan cukai dan bayaran akan membawa limpahan manfaat kepada syarikat, pasaran kerja, pendapatan rakyat dan pasaran penggunaan, malah mengurangkan kebergantungan negara pada eksport. Pelan itu juga akan menguntungkan syarikat modal asing yang sedang atau merancang membuat pelaburan di China.

王瑾