China Terus Naik Taraf Iklim Perniagaan

2019-03-07 19:23:20  CRI
Share with:

Merangsang kedinamikan pasaran dan mengoptimumkan iklim perniagaan antara sepuluh tugas utama yang digariskan dalam laporan kerja kerajaan China yang diserahkan kepada Kongres Rakyat Kebangsaan untuk dibahaskan baru-baru ini.

Dalam konteks hubungan perdagangan antarabangsa yang rumit dan sering berubah serta peralihan sasaran pembangunan China, iklim perniagaan yang terus dibaiki bukan sahaja kondusif bagi kedinamikan dan daya saing negara ini, malah menguntungkan pelabur sedunia. 

Dokumen rasmi kerajaan China mentafsirkan iklim perniagaan sebagai merangkumi iklim pasaran dengan persaingan yang adil, iklim pentadbiran yang efisien dan bersih, iklim undang-undang dan dasar yang adil dan telus, serta iklim kemanusiaan yang terbuka dan inklusif.

Sejak kongres kebangsaan ke-18 Parti Komunis China diadakan, kerajaan mengambil pelbagai tindakan pembaharuan seperti menurunkan cukai dan bayaran, meringkaskan pentadbiran dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Hasilnya, iklim perniagaan bertambah baik.

Bank Dunia dalam laporan mengenai iklim perniagaan yang diterbitkan Oktober tahun lepas meletakkan China di ranking ke-46, melonjak 32 anak tangga dari tempat ke-78 sebelumnya. Pembaharuan yang dilaksanakan China dalam bidang-bidang yang berkaitan disifatkan sebagai "amat pantas dan efektif".

Berdepan suasana pembangunan yang lebih rumit dan mencabar, China akan terus memperkenalkan inisiatif untuk menaiktarafkan iklim perniagaan dan mengatasi cabaran mendatang melalui tindakan praktikal. 

Antara tugas mustahak bagi kerajaan China pada tahun ini termasuk mengendalikan hubungan dengan pasaran secara baik, melonggarkan akses pasaran, memperkukuh pengawalan dan penyeliaan secara adil, membina iklim perniagaan yang berasaskan undang-undang serta diantarabangsakan dan dipermudah.

Presiden Xi Jinping percaya iklim perniagaan boleh terus dibaiki tanpa henti dan tiada yang boleh dikatakan "terbaik". Sebagai negara membangun paling besar di dunia, China perlu terus memperincikan pembaharuan dan keterbukaan agar dapat mencipta iklim perniagaan bertaraf dunia. Beliau yakin China akan menjadi destinasi modal usaha niaga yang lebih menarik pada masa akan datang.

王瑾