Dunia Satu Komuniti Besar

2019-03-08 21:03:17  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi telah menjawab soalan wartawan dari 21 media tempatan dan asing dalam sidang taklimat sempena persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) pagi tadi. Soalan-soalan itu meliputi semua isu hangat dunia, dari hubungan antara kuasa besar hingga konflik serantau, situasi Semenanjung Korea hingga benua Afrika. Jawapan Menteri Luar Wang Yi mencerminkan pandangan China mengenai pembangunan dunia, serta aspirasi negara ini untuk memainkan peranan lebih besar dalam tadbir urus global. Kenyataan beliau turut menampakkan dasar diplomasi Republik Rakyat China yang menganggap dunia sebagai satu komuniti besar.

Presiden Xi Jinping berulang kali menegaskan bahawa dunia kini berdepan perubahan besar yang tidak pernah berlaku dalam seratus tahun. Order antarabangsa yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua mengalami cabaran yang amat sengit.

Rakyat China, di bawah pimpinan Parti Komunis China, melakar pencapaian cemerlang dalam 70 tahun lalu, khususnya sejak dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan 40 tahun lalu. China membangun menjadi entiti ekonomi kedua terbesar di dunia. Mod pembangunan China diiktiraf meluas oleh kebanyakan negara membangun. Seorang wartawan dari Ghana menyatakan bahawa negara-negara Afrika lebih menerima mod pembangunan China dan aktif terlibat dalam pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

BRI dikemukakan Presiden Xi Jinping pada tahun 2013 demi menggalakkan pembangunan bersama dunia. Setakat ini, 123 buah negara dan 29 buah pertubuhan antarabangsa telah menandatangani komumen kerjasama dengan China untuk turut terlibat dalam pembinaan BRI. Forum kemuncak kerjasama antarabangsa BRI kedua akan diadakan di China pada April nanti, dan lebih banyak pemimpin negara telah mengesahkan kehadiran mereka pada forum itu.

Wang Yi mengatakan bahawa fakta tersebut membuktikan BRI bukanlah "perangkap hutang", sebaliknya satu "kek" yang menguntungkan semua. BRI bukanlah "peralatan geopolitik", ia sebenarnya peluang untuk membangun bersama.

Walau bagaimanapun, perkembangan masyarakat manusia sentiasa menempuh jalan berliku-liku. Terdapat sesetengah pihak memfitnah China, mencemarkan nama China, malah mengancam negara lain yang ingin berbaik dengan China. 

Sehubungan itu, Wang Yi menyatakan bahawa tindakan yang menjauhkan diri daripada China, sebenarnya tindakan yang menjauhkan diri daripada peluang.

Di samping itu, beliau menegaskan bahawa China menggalakkan syarikat China menggunakan alat perundangan untuk membela kepentingan sendiri apabila mengalami sekatan oleh negara-negara lain.

Pada hakikatnya, pembangunan secara damai China mendapat lebih banyak sokongan dan pengiktirafan oleh masyarakat antarabangsa. Negara-negara Eropah menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan kerjasama dengan China. Canselor Jerman, Angela Merkel menyatakan bahawa Jerman tidak mungkin mengekalkan kedudukan terdepan di dunia tanpa jalinan hubungan baik dengan China.

王瑾