Presiden Xi Jinping sentiasa melihat suara rakyat di peringkat akar umbi sebagai pengukur bagi menguji sama ada masyarakat kaya secara menyeluruh dapat direalisasikan. Dalam persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) tahun ini, beliau duduk bersama-sama wakil kelompok penggembala, petani, usahawan dan golongan miskin untuk membincangkan isu-isu seperti pembangunan hijau, kemajuan desa, inovasi dan keusahawanan serta pembasmian kemiskinan.
Semasa sesi perbincangan delegasi Mongolia Dalam, Wu Yunbo selaku wakil NPC berkongsi pengalamannya membina rantai industri melibatkan penanaman, penternakan, pemprosesan dan pemasaran hingga membawa penduduk miskin tempatan merintis jalan pembangunan hijau sekali gus meningkatkan taraf hidup. Presiden Xi yang menunjukkan minat untuk mengunjungi kampung berkenaan, menggalakkan Wu Yunbo membina jenama sendiri dan mewujudkan pembangunan berkualiti yang mengutamakan ekologi.
Xi menekankan perlindungan alam sekitar satu perjuangan yang tidak boleh goyah. Alam sekitar tidak boleh menjadi korban semata-mata kerana berjumpa kesukaran dalam pembangunan ekonomi.
Dalam sesi perbincangan delegasi provinsi Henan, Li Liancheng yang hadir sebagai wakil kaum tani menyampaikan aspirasi penduduk sekampung yang mengimpikan makan pakai mencukupi, ilmu pengetahuan dan kesihatan. Ini juga impian ratusan juta petani di seluruh negara.
Xi menyatakan seiring dengan pembangunan desa secara berterusan, kampung moden akan menjadi tanah tempat tumbuh suburnya harapan. Katanya, menjamin bekalan hasil pertanian khususnya bijirin tugas utama dalam pelaksanaan strategi pembangunan desa. Pelaburan swasta digalakkan bagi melengkapkan infrastruktur di desa yang masih lagi mempunyai kelemahan.Juga perlu disempurnakan, sistem insurans warga emas dan perubatan asas, jaminan sara hidup minimum serta perkhidmatan bagi kanak-kanak yang ibu bapa menjadi pekerja migran.
Ketika sesi perbincangan delegasi provinsi Fujian, pengasas Anta Sports, Ding Shizhong memberitahu Presiden Xi bahawa syarikatnya yang dahulu usaha kecil-kecilan semasa ditubuhkan pada 2001, kini pengeluar barangan sukan ketiga terbesar di dunia dengan pendapatan melonjak daripada tidak sampai 300 juta yuan kepada 24.1 bilion yuan tahun lepas.
Xi menyatakan bahawa keuntungan bukanlah satu-satunya tujuan usaha niaga. Pembangunan diri syarikat juga penting demi kemajuan ekonomi sebenar. Beliau turut memberi penekanan kepada persekitaran yang adil, telus dan berasaskan undang-undang dalam pembangunan syarikat.
Fujian dan Taiwan yang dipisahkan oleh selat, terdepan dalam pembangunan secara bersepadu. Xi menyatakan Tanah Besar dan Taiwan harus meningkatkan kelancaran kerjasama ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan infrastruktur, perkongsian tenaga dan sumber serta menyelaraskan piawaian industri agar peluang pembangunan dapat dinikmati bersama.Pada sesi perbincangan delegasi provinsi Gansu, Presiden Xi membincangkan isu pembasmian kemiskinan dengan para wakil.
Gansu, provinsi miskin yang tipikal di China. Xi pernah mengunjungi penduduk paling miskin di sebuah kampung kecil di sana menjelang Tahun Baharu Cina, tidak lama setelah beliau dipilih sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC) pada 2013.Beliau menyatakan hanya tinggal dua tahun sebelum 2020, masa paling mendesak untuk mencapai matlamat pembasmian kemiskinan. Maka, perjuangan mesti diteruskan hingga memperoleh kemenangan seluruhnya.