Beriringan Ke Arah Komuniti Berkongsi Nasib

2019-04-24 11:31:32  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_5cbdba77a310e7f83ef0c815

Ketika menyebut Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), yang terlintas di fikiran mungkin hanya projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Walaupun ECRL projek kerjasama penting China dan Malaysia di bawah rangka BRI, namun infrastruktur bukanlah satu-satunya tumpuan inisiatif tersebut.

BRI saranan Presiden China, Xi Jinping enam tahun lalu, menyasarkan koordinasi dasar, kesalinghubungan prasarana, kelancaran perdagangan, integrasi kewangan dan persefahaman rakyat sebagai lima objektif utamanya.
 
ECRL yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dalam negeri, juga sebahagian jaringan kereta api yang menghubungkan semua negara Asia bahkan hingga ke Eropah. Pada suatu hari nanti, pelancong ASEAN dapat melawat selatan China menaiki kereta api tanpa perlu bermalaman, begitu juga produk-produk yang dieksport ke China.
 
Atas permintaan pihak Malaysia, projek ECRL dirundingkan semula hingga perjanjian tambahan dimeterai, memperlihatkan betapa kerjasama BRI saling untung. Perkembangan ini juga mencerminkan pentingnya koordinasi dasar dalam pembangunan BRI. 

Jika hanya menguntungkan sebelah pihak, BRI tidak mungkin menarik penyertaan lebih 150 negara dan pertubuhan antarabangsa. Ini termasuk Malaysia, antara yang paling awal memberi sahutan kepada inisiatif tersebut.

图片默认标题_fororder_5cbdba77a310e7f83ef0c81a

 

Selain infrastruktur, kerjasama perdagangan dan pelaburan serta pertukaran sosiobudaya antara China dengan Malaysia juga telah membuahkan hasil yang menggalakkan.
 
Perdagangan telah melebihi paras USD100 bilion, meletakkan China sebagai rakan dagang terbesar bagi Malaysia selama sepuluh tahun berturut-turut. 

Pada tahun lalu, jumlah eksport Malaysia ke China bertambah 10%. Pelaburan China dalam industri pembuatan Malaysia pula USD4.75 bilion, meningkat 4 kali ganda dalam tempoh lima tahun, sekali gus menyediakan lebih 75,000 peluang kerja. 

Sebanyak 2.94 juta warga China melawat Malaysia, naik 29% berbanding tahun sebelumnya. Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan visa semasa ketibaan untuk pelancong China. 

Program “Nihao” terbitan Kumpulan Media China (CMG)bersama Bernama Radio mendapat pujian Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana membantu Malaysia dan China saling memahami sensitiviti serta menyumbang kepada jalinan lebih rapat sesama negara.

Presiden Xi Jinping kerap kali menyifatkan persefahaman di kalangan rakyat asas bagi hubungan antarabangsa. Berkat perdagangan dan pertukaran lawatan yang rancak serta infrastruktur yang saling hubung, Malaysia tidak lagi asing bagi rakyat China, begitu juga China bagi rakyat Malaysia. Keakraban rakyat turut membantu melicinkan penyelarasan dasar, kegiatan perdagangan dan pelaksanaan projek-projek berkaitan.  
 
BRI terbuka kepada semua negara biarpun di luar Jalan Sutera dan Laluan Sutera Maritim purba. Sepertimana yang dinyatakan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Dato' Abdul Majid Ahmad Khan, sasaran akhir BRI adalah untuk merealisasikan komuniti berkongsi nasib sesama insan. 

Dekat di mata, dekat lagi di hati. Ikatan antara rakyat China dan Malaysia boleh ditelusur hingga ratusan tahun. 

Tanah Melayu, satu titik pada Laluan Sutera Maritim sejak purbakala. Pada abad ke-21 ini, Malaysia pasti akan menjadi rakan kongsi penting dalam pembangunan BRI. 

Lima objektif BRI nescaya akan membawa China dan Malaysia beriringan ke arah komuniti berkongsi nasib.

张弘