Bersama Harungi Detik Kesukaran dalam Memerangi Wabak Pneumonia Koronavirus Baharu

2020-02-12 20:35:39  CRI
Share with:

Duta besar China ke Malaysia, Bai Tian telah mengarang artikel yang bertajuk "Bersama Harungi Detik Kesukaran dalam Memerangi Wabak Pneumonia Koronavirus Baharu". pada 11 dan 12 Februari, artikel berkenaan telah disiarkan melalui akhbar-akhbar Malaysia dalam bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Berikutnya kandungan penuh artikel tersebut.

 

Dalam dua minggu yang lalu, saya sentiasa menumpukan perhatian terhadap keadaan wabak pneumonia koronavirus baharu (NCP) di tanah air saya. Pada masa kini, 1.4 bilion rakyat bersama-sama memerangi wabak di negara China. Ahli-ahli perubatan dari seluruh negara berkejar ke provinsi Hubei untuk merawat pesakit siang dan malam. Seluruh rakyat berganding bahu dengan mengambil tindakan ketat untuk mencegah dan mengawal wabak daripada merebak. Seluruh masyarakat berganding tangan untuk melawan wabak NCP. Setiap hari kami mendengar cerita tentang keberanian orang biasa yang amat menyentuh hati.

 

Di sebalik setiap cerita ini, terpapar semangat patriotisme, keprihatinan serta tanggungjawab setiap orang China terhadap tanah air. Kehidupan kami yang aman dan damai ialah hasil kerja keras perwira-perwira ini. Tanpa usaha mereka, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, keadaan wabak di China akan menjadi lebih teruk.

 

Sejak kebelakangan ini, usaha untuk mencegah dan mengawal wabak NCP terbukti berkesan. Selain provinsi Hubei, walaupun jumlah kes yang disahkan dan kes yang disyaki di wilayah lain masih banyak, manun jumlah pertambahan kes yang disahkan memampakkan penurunan selama lapan hari berturut-turut, sementara jumlah kes yang sembuh terus meningkat. Setakat ini, lebih 4700 pesakit telah sembuh dan keluar dari hospital. Perkara ini menunjukkan kesan positif daripada perjuangan melawan wabak. Oleh sebab kerjasama dan usaha kerajaan China untuk berkongsi maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain, sebanyak 99% daripada lebih 30,000 kes yang disahkan di seluruh dunia adalah berlaku di China, hanya kurang daripada 1% berlaku di luar China. Hal ini hasil usaha kerajaan China mengambil tindakan ketat untuk mengawal penyebaran wabak, dan rakyat China melakukan tindakan mengkuarantin diri yang paling ketat. Usaha pihak China dipuji tinggi oleh WHO dan masyarakat antarabangsa. Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom, China telah menjadi teladan kepada seluruh dunia dalam menangani wabak yang serupa.

 

Sekarang ini, kesemua 1.4 bilion rakyat China turut terlibat dalam perjuangan melawan wabak NCP. Rakyat China bersatu padu, mengikut arahan kerajaan, membatalkan perhimpunan yang melibatkan orang ramai dan kunjungan sempena perayaan Tahun Baharu China, sebaliknya tinggal di rumah sahaja. Rakyat China melakukan kuarantin sendiri kerana itulah cara yang paling efektif untuk menghalang penyebaran virus. Ini sudah tentu mengehadkan kebebasan perjalanan orang ramai, bahkan menyebabkan kemerosotan kegiatan perdagangan dan ekonomi. Walau bagaimanapun, kerajaan dan rakyat China berjaya membuktikan kepada dunia bahawa demi kesihatan dan keselamatan rakyat, kami boleh!

 

China melakukan usaha tersebut bukan hanya untuk dirinya sendiri, bahkan demi manfaat seluruh dunia. Pada era globalisasi ini, virus mampu merebak ke mana-mana negara dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengawal penyebaran virus adalah dengan menghapuskannya di dalam negara China secepat mungkin. Sejak berlakunya wabak NCP, kerajaan China telah mengambil segala tindakan, termasuk berkongsi maklumat urutan genom koronavirus baharu dengan WHO dan negara-negara lain pada minggu pertama wabak ini disahkan, dan membatalkan semua kumpulan pelancong ke luar negara. Satu langkah yang paling ketat adalah menghentikan pengangkutan ke luar bagi berpuluh-puluh bandar termasuk Wuhan. Kami mengamalkan kepercayaan kepada falsafah “sudi mengorbankan diri untuk kebaikan orang ramai” yang diwarisi sejak turun-temurun. Semangat ini akan terus menggalakkan kerajaan dan rakyat China untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan memerangi wabak ini.

 

Di samping itu, sokongan dan bantuan dari rakan-rakan di seluruh dunia juga memberi kami keyakinan bahawa kami mampu memenangi pertempuran ini. Sehingga 5 Februari, 21 negara dan organisasi antarabangsa, termasuk Malaysia, telah menyumbangkan bantuan barang perubatan kepada China. Ramai kawan dari seluruh dunia juga aktif memberi sokongan yang tidak ternilai kepada China. Dengan ini, kerajaan dan rakyat China berasa bahawa kami bukanlah berseorangan dalam pertempuran melawan wabak ini!

 

Saya amat terharu dengan keprihatinan dan sokongan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa jika pihak China memerlukan bantuan, Malaysia sudi menghulurkan bekalan termasuk makanan, penutup mulut dan hidung serta sarung tangan ke kawasan wabak seperti provinsi Hubei. Dua minggu dahulu, saya telah menghadiri majlis penyerahan sumbangan 18 juta pasang sarung tangan kegunaan perubatan dari Malaysia kepada Wuhan bersama Menteri Industri Utama, Y.B. Teresa Kok. Rakyat Malaysia juga menghantar klip-klip video yang memberikan galakan kepada Wuhan. Saya telah memanjangkan video tersebut kepada rakan China supaya lebih ramai rakyat China dapat mengetahui sokongan rakyat Malaysia bagi bersama-sama mengharungi masa yang sukar ini. Antara klip-klip video tersebut, ada yang daripada organisasi pelancongan seperti Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) dan sebagainya. Hakikatnya, industri pelancongan Malaysia juga mengalami kerugian besar akibat wabak ini, namun mereka tidak menyalahkan pihak China, sebaliknya memberikan galakan untuk China khususnya Wuhan.

 

Perkara yang paling menyentuh hati bagi saya ialah kawan-kawan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang giat mengumpul dermaan dan barang bantuan untuk China. Semasa saya memberikan penghargaan kepada seorang sahabat lama yang telah mendermakan bekalan perubatan, beliau berkata, “a small contribution in time of need”. Derma boleh dinilai, namun persahabatan tidak ternilai. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Setiap sokongan dan bantuan daripada rakyat Malaysia akan menggalakkan rakyat China dalam mengharungi detik yang sukar ini. Dengan penuh keikhlasan, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua rakan Malaysia yang telah memberikan keprihatinan dan sokongan kepada China dalam melawan wabak ini. Terima kasih atas sokongan yang tidak ternilai pada saat ini. Terima kasih, Malaysia!

 

Kita semua hidup di bawah langit yang sama tanpa mengira negara dan kaum. Apa jua jenis virus ialah musuh bagi seluruh umat manusia. Perjuangan melawan wabak koronavirus baharu ini memerlukan usaha dan kerjasama seluruh dunia. Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom berkata, “apa yang diperlukan ialah fakta, bukanlah ketakutan; apa yang diperlukan ialah sains, bukanlah khabar angin; kini adalah masa untuk bersatu padu, bukanlah mencela”. Satu-satunya cara bagi memerangi wabak adalah bersatu padu dan bekerjasama. Dengan ini, apa yang terukir pada lipatan sejarah adalah kemenangan ini bukan sekadar hasil usaha rakyat China, tetapi juga kerjasama semua negara.

 

Perjuangan ini masih berterusan. Namun, saya yakin bahawa kita mampu memenangi perjuangan ini jika kita mempunyai keazaman, kepercayaan dan kesabaran. Ini bukan kali pertama berlakunya wabak penyakit dalam sejarah manusia. Sebelum wabak pneumonia koronavirus baharu (NCP), kita telah mengharungi wabak H1N1, selesema burung, sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS), virus Ebola dan lain-lain. Setiap kali manusia mampu menghapuskan wabak dengan kebijaksanaan dan kerjasama pelbagai negara. Contohnya, semasa berlakunya wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada tahun 2003 dan gempa bumi Wenchuan pada tahun 2008, bangsa China telah mengharungi dugaan dan menjadi semakin kuat. Kali ini, saya yakin bahawa rakyat China pasti akan memenangi perjuangan melawan wabak NCP dengan sokongan rakyat semua negara termasuk Malaysia!

王瑾