Lebih 100 ribu kes jangkitan wabak koronavirus baharu (COVID-19) telah dilaporkan di seluruh dunia, menurut data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Dalam satu temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG), ketua pengarang Jurnal D-Wave Myanmar, Monywa Aung Shin menyatakan perpaduan dan kerjasama merupakan pengajaran paling berharga yang dapat ditimba daripada pengalaman China melawan wabak tersebut.
Katanya, penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia juga menjadi perhatian penduduk Myanmar. Jumlah kes baharu yang terus menurun di China, menandakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilaksanakannya amat berkesan dan wajar dipelajari negara-negara lain.
Beliau berkata, rakyat China telah membuat sumbangan besar bagi melawan wabak COVID-19, usaha yang berjaya mengawal penularan dengan cepat. Inisiatif yang diambil China, contohnya menggerakkan lebih 200 ribu kakitangan perubatan dan membina hospital sementara dalam masa yang begitu singkat, amat dihargai.
Sejak 23 Februari, syarikat di serata China telah menyambung semula kegiatan pengeluaran masing-masing sambil bertindak mencegah pemerebakan wabak. Sekarang, perdagangan antara China dengan Myanmar melalui pintu sempadan Muse-Ruili telah pulih 80% berbanding masa sebelum tercetusnya wabak. Melihat kepada perkembangan ini, Monywa Aung Shin menyatakan beliau berkeyakinan penuh terhadap prospek ekonomi China.