Menteri-menteri ekonomi ASEAN menekankan perlunya blok itu meningkatkan perpaduan dan berganding bahu untuk mengurangkan impak wabak koronavirus baharu (COVID-19) terhadap ekonomi sejagat.
Para menteri dalam satu kenyataan bersama susulan Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN di Da Nang, Vietnam semalam melahirkan kebimbangan atas penularan wabak berkenaan, khususnya impak terhadap sektor pelancongan, pembuatan, jualan runcit dan perkhidmatan serta rantai bekalan dan pasaran kewangan.
Mereka bersependapat bahawa sebarang langkah untuk mengehadkan kegiatan rentas sempadan hendaklah berdasarkan pertimbangan mengenai kesihatan awam dan tidak seharusnya menjejaskan perdagangan di rantau berkenaan.
Negara-negara ASEAN juga bersetuju untuk mengambil tindakan bersama bagi meringankan impak wabak terhadap ekonomi, di samping mengekalkan keterbukaan pasaran, memperkasakan perkongsian maklumat, menyelaraskan kerjasama dan membantu syarikat melalui kaedah teknologi dan perdagangan digital.