Sibuk Memfitnah, Tidak Hirau Wabak

2020-04-03 14:19:38  CRI
Share with:

Meskipun situasi wabak COVID-19 semakin memburuk hari demi hari, politikus di Amerika Syarikat (AS) tetap sibuk menyebarkan khabar angin dan memfitnah negara lain. Daripada Naib Presiden Mike Pence yang mempersalahkan China atas respons lambat Washington hinggalah Setiausaha Negara Mike Pompeo yang menuduh China menyebarkan “maklumat palsu”, inilah contoh terbaik “mengata dulang paku serpih”. 

Jika difikirkan, siapakah yang lebih layak menilai sama ada China bersikap telus dan terbuka ataupun tidak selain pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri? Sebelum ini, data yang didedahkan oleh wakil WHO di China, Gao Li menunjukkan tindakan China berkongsi dan melaporkan maklumat secara tepat pada masanya membolehkan pertubuhan itu menganalisis kecenderungan virus COVID-19 dan mengeluarkan amaran awal pencegahan wabak kepada seluruh dunia. 

Apakah yang telah dilakukan oleh Washington setelah menerima pelbagai notis mengenai wabak itu? Selaku penanggungjawab kerja pencegahan wabak di AS, dapatkah Mike Pence menjelaskan mengapa Dr. Helen Chu dari Seattle didiamkan selepas cuba membunyikan amaran mengenai wabak itu pada bulan Januari? Bolehkah Pence menerangkan sebabnya pakar penyakit berjangkit itu diarahkan supaya menghentikan ujian setelah dapatannya diserahkan kepada pihak berkuasa pada bulan berikutnya? Mampukah Mike Pompeo pula, seorang pegawai diplomatik kanan AS, menghuraikan apa yang telah dilakukannya demi kesihatan awam rakyat berikutan penularan wabak COVID-19? Mengapakah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit AS berhenti mengumumkan bilangan pesakit yang disahkan positif serta jumlah kematian di setiap negeri? 

Walau dilihat sepintas lalu, sudah jelaslah siapakah sebenarnya yang menyembunyikan situasi wabak di negara sendiri. Di balik kecaman dan tohmahan yang dilemparkan ke arah China, wujudnya rasa bersalah serta panik yang meluap. Seperti yang disebut oleh laman sesawang politik The Daily Beast, Rumah Putih mahu mengalih perhatian masyarakat awam daripada kelalaian sendiri dengan mengambinghitamkan China. Perhitungan politik seperti ini memperjudikan nyawa rakyat, bahkan akan menyebabkan AS terlepas peluang kedua untuk membendung wabak COVID-19. 

王瑾