Kawal Sikit Cita-cita Tu, Pompeo

2020-04-06 15:09:35  CRI
Share with:

Gara-gara ketidakcekapan mengendalikan situasi wabak COVID-19, Mike Pompeo telah digelar Setiausaha Negara yang paling buruk prestasinya dalam sejarah AS oleh media negara sendiri.

The Washington Post dalam ulasan yang disiarkan beberapa hari lalu mengkritik pedas dan mencemuh Pompeo, yang dikatakan punca dasar luar AS semakin melencong dari arah yang sepatutnya. Di bawah pimpinan Pompeo yang dikatakan berbangga dengan “pembohongan, penipuan dan pencurian”, hubungan AS dengan China dan Rusia memburuk, manakala ikatan dengan sekutunya di Barat semakin retak.

Kian hari AS semakin jauh menapak di jalan unilateralisme. Ramai penganalisis berpendapat, Pompeo rela tunduk kepada kehendak pemimpin AS sambil mengkritik China kerana mahukan modal politik bagi merealisasikan cita-cita menjadi presiden pada suatu hari kelak.

Sejak tercetusnya wabak COVID-19, Pompeo tidak henti-henti memburukkan imej China dengan menggelar wabak tersebut sebagai “virus Wuhan”, memfitnah parti pemerintah dan sistem politik China sebagai “ancaman zaman ini”, dan melobi untuk memasukkan ungkapan “virus Wuhan” dalam kenyataan menteri luar Kumpulan Tujuh (G7).

Wabak COVID-19 bukannya dilihat sebagai satu tragedi, sebaliknya dijadikan Pompeo alat untuk mengaut laba politik. Jika kesengsaraan manusia sanggup dieksploitasi oleh diplomat kanan itu untuk menyelar China dengan kenyataan berbaur mentaliti Perang Dingin dan prejudis, tidak hairanlah andainya bukan sahaja masyarakat antarabangsa tetapi juga golongan elit di AS sendiri yang mencela.

张弘