WHO Pula Jadi Sasaran Kecaman AS

2020-04-10 14:41:10  CRI
Share with:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kecaman AS, apabila pegawai-pegawai Washington menuduh agensi tersebut “memberi nasihat salah” berhubung wabak COVID-19.

Diplomat kanan AS baru-baru ini mendakwa WHO gagal bertindak sewajarnya, alasan yang turut digunakan oleh pemimpin negara berkenaan dalam ugutannya untuk berhenti menyalurkan dana kepada pertubuhan kesihatan antarabangsa itu.

Sepertimana yang disebut oleh akhbar The Guardian Britain dalam satu laporan kelmarin, Washington sentiasa menafikan kelalaian pihak sendiri dalam usaha membendung wabak. Sekarang, WHO pula yang ingin dijadikan kambing hitam.

Ketika membalas kritikan AS yang tidak berasas itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata perbuatan mengeksploitasi wabak untuk tujuan politik bagaikan bermain api sehingga membakar diri. Virus dan wabak sepatutnya diasingkan daripada unsur-unsur politik jika tidak mahu melihat berlakunya lebih banyak kes kematian.

Lebih penting lagi, dana yang disalurkan AS kepada WHO bukanlah satu bentuk dermaan, tetapi kewajipan antarabangsa yang perlu dipikulnya selaku negara maju paling besar di dunia. Percubaan untuk mengenakan tekanan politik terhadap WHO melalui ugutan menghentikan dana, jelas menunjukkan sikap AS yang memandang kepentingan sendiri lebih penting daripada kesihatan awam global. Ini turut menggambarkan erti sebenar dasar “utamakan AS”, juga satu lagi tindakan unilateral AS di pentas antarabangsa.

张弘