Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo saling mengutus kawat tahniah sempena ulang tahun ke-70 ikatan diplomatik kedua-dua negara, semalam.
Xi berkata, hubungan bilateral telah melakar kemajuan yang memberangsangkan dalam tujuh dekad lalu, terutamanya pada tahun-tahun kebelakangan ini. Kedua-dua pihak telah memperluas bidang kerjasama, dan menyaksikan sinergi di bawah rangka Jalur dan Laluan membawa hasil melimpah. Penyelarasan dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau juga semakin rapat, sehingga membawa kesejahteraan kepada rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan semua.
Xi menegaskan, China dan Indonesia yang memiliki banyak kepentingan sama dalam pelbagai aspek, juga mempunyai potensi kerjasama yang amat luas. China akan berganding bahu dengan Indonesia dalam perjuangan membendung wabak COVID-19.
Jokowi pula berkata, interaksi antara pemimpin negara dan pelbagai kalangan masyarakat semakin rancak, yang turut memperkukuh jalinan persahabatan. Peluang kerjasama dalam pelbagai bidang yang dicipta kedua-dua negara telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat, sesuatu yang amat dibanggakan.