Pompeo, Penghancur Kredibiliti Rumah Putih

2020-04-14 15:07:17  CRI
Share with:

Makin runtuh kredibiliti AS apabila sesetengah politikusnya bertindak menyelar negara-negara lain tatkala dunia sedang bergelut dengan wabak COVID-19.

Daripada merampas pelitup muka yang dibekalkan kepada Jerman dan memaksa syarikat 3M berhenti mengeksport produk ke negara lain, hinggalah perbuatan mengambinghitamkan China dan memperhebat sekatan terhadap Iran dan Cuba, kelakuan Washington akhir-akhir ini hanya merencatkan usaha sama sejagat melawan wabak.

Dewasa ini, kian ramai yang memandang Setiausaha Negara, Mike Pompeo sebagai punca kemerosotan etika diplomatik di AS. Malahan, The Washington Post melabel pegawai kanan itu sebagai salah satu setiausaha negara yang paling buruk prestasinya dalam sejarah AS, gara-gara ketidakcekapan mengendalikan situasi wabak COVID-19.

Pengaruh Pompeo dalam aspek diplomatik dan keselamatan negara AS boleh dikatakan merangkumi hampir kesemua urusan. Namun, keprofesionalan dan watak moralnya tidak sepadan dengan kuasa yang sebegitu besar di tangan, malah telah melipatgandakan bahana dasar-dasar yang tidak sesuai.

Pada Januari tahun ini, tentera AS melancarkan serangan udara yang membunuh jeneral Iran Qasem Soleimani, insiden yang telah meruncingkan lagi konflik antara kedua-dua negara. Saluran berita CNN menganggap Pompeolah yang mengatur pembunuhan tokoh penting itu.

Situasi Asia Barat yang makin memburuk menjadi modal untuk Pompeo melobi sokongan puak konservatif. Namun begitu, apabila misi diplomatik negara gergasi dijadikan medan untuk politikus mengaut keuntungan, sia-sialah segala sasaran jangka panjang dan sederhana.

Jika dipandang sama ada dari segi geopolitik mahupun kerjasama menangani pandemik, diplomasi AS membabitkan Iran, Afghanistan dan Asia Timur Laut hanya boleh digambarkan sebagai kelam-kabut.

Pompeo, dalang di belakang pemimpin AS, mengubah corak dasar keselamatan negara yang dibuat Rumah Putih dengan kata-kata semanis gula, membawa negaranya menempuh jalan mati yang diwarnai unilateralisme.

高蕾