Import, Eksport China Turun 6.4%

2020-04-15 12:45:48  CRI
Share with:

China merekodkan jumlah import dan eksport barangan yang mencatat RMB6.57 trilion (RM4.03 trilion) pada suku pertama tahun ini, menurun 6.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tiga bulan tersebut, ASEAN mengambil alih kedudukan Kesatuan Eropah (EU) selaku rakan dagang terbesar bagi China.

Jurucakap jabatan kastam yang juga ketua bahagian statistiknya, Li Kuiwen memaklumkan import dan eksport litar bersepadu antara China dan ASEAN meningkat ketara dalam tempoh itu, sekali gus melonjakkan prestasi keseluruhan perdagangan antara kedua-dua pihak sebanyak 3.3%.

Perdagangan litar bersepadu antara China dengan Malaysia, Singapura, Vietnam dan anggota lain blok berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada rantai industri semikonduktor global, kini semakin rapat.

Walaupun import dan eksport pada suku tahun pertama menyaksikan penurunan pada keseluruhannya, namun perdagangan antara China dengan negara-negara Jalur dan Laluan terus menampakkan pertumbuhan. Menurut statistik kastam, jumlah import dan eksport itu meningkat 3.2% kepada RMB2.07 trilion (RM1.27 trilion), dengan transaksi membabitkan ASEAN dan Rusia masing-masing naik 6.1% dan 5.7%.

Li berkata pandemik COVID-19 telah mengakibatkan permintaan dalam pasaran antarabangsa menguncup, yang pasti memberi impak terhadap kegiatan eksport China. Walau bagaimanapun, China yakin asas perdagangan luar mampu distabilkan, kerana sektor itu tetap berdaya tahan dan berdaya saing.

高蕾