Mustahil Alih Rantai Bekalan dari China

2020-04-17 14:19:55  CRI
Share with:

Akhir-akhir ini, sesetengah politikus Amerika Syarikat (AS) mengheboh-hebohkan khabar bahawa syarikat negaranya menghentikan operasi di China dan beralih tapak perniagaan ke Asia Tenggara, dengan menjadikan pandemik COVID-19 yang berleluasa di dunia sebagai alasan. Ada penganalisis yang menganggap, isu yang dibangkitkan mereka itu sekadar gimik politik dan langsung tidak ada gunanya. Di peringkat domestik, AS berhadapan cabaran getir ekoran penularan COVID-19 dan kadar pengangguran yang semakin meningkat. Dalam senario sebegitu, perbuatan politikus tersebut hanyalah untuk mengalihkan perhatian dan mengurangkan percanggahan antara persepsi orang ramai dengan realiti semasa.

Felo Kanan Institut Ekonomi Antarabangsa Peterson AS, Nicholas R. Lardy berpandangan bahawa peralihan dalam rantai bekalan dari China secara besar-besaran mustahil berlaku.

Beliau menjelaskan, kedudukan kukuh China dalam rantai global selama ini adalah berkat sistem perindustrian yang lengkap, kemudahan infrastruktur yang baik, tenaga kerja yang mahir, serta pilihan sendiri syarikat transnasional.

Bagi syarikat antarabangsa, pasaran China menunjukkan daya saing. Dengan gelaran kilang terbesar di dunia, negara ini telah memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negeri dengan kelebihannya dari segi rantai bekalan yang lengkap, keefisienan dan kos rendah serta skala pengeluaran yang besar.

Di AS, ada suara yang mahukan syarikat negara itu menghentikan perniagaan di China. Kalau begitu, tanyalah dulu pengguna tempatan sama ada sudi berbelanja sebanyak USD2,000 (RM8,685) untuk sebuah iPhone ataupun USD25 (RM108.5) untuk sepasang sarung kaki.

Dalam pada itu, akhbar Britain The Financial Times berkata, pandemik COVID-19 merupakan krisis global, bukan krisis globalisasi. Hanya menerusi kerjasama barulah kesukaran dapat diatasi, baik dalam menghapuskan wabak mahupun merangsang ekonomi.

高蕾