Momentum Ekonomi China Bertambah Baik

2020-04-18 13:48:52  CRI
Share with:

Data ekonomi makro yang diumumkan Biro Statistik Negara (NBS) China semalam menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2020 menguncup sebanyak 6.8 peratus akibat penularan wabak koronavirus baharu (COVID-19).

NBS menyifatkan kerugian tersebut sebagai pengorbanan ekonomi dari segi pertumbuhan jangka pendek kerana kerajaan China terpaksa mengorbankan apa sahaja untuk menyelamatkan nyawa rakyat. Melihat kepada senario semasa ketika ini dengan aktiviti pelaburan dan perdagangan di peringkat global semakin susut serta penurunan unjuran pertumbuhan oleh beberapa organisasi antarabangsa, pertumbuhan ekonomi China yang terkesan akibat penularan wabak itu tidak boleh dielak.

Walau bagaimanapun, yang lagi penting ialah kegigihan China memerangi wabak di samping menyusun strategi bagi memastikan semua sektor kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh dua bulan yang lalu. Pada masa ini, penularan wabak dikawal secara berkesan, keadaan sosioekonomi kekal stabil, manakala pertumbuhan ekonomi makin rancak dengan beberapa penunjuk utama menunjukkan kadar penurunan menjadi semakin kecil pada bulan Mac.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan China yang juga penunjuk penting bagi trend ekonomi makro, menokok kepada 52 peratus pada bulan Mac berbanding Februari. Ini menandakan bahawa kegiatan pengeluaran dan perniagaan dalam negeri disambung semula secara teratur dan bertambah rancak.

Dalam pada itu, kesejahteraan rakyat juga dijamin susulan tindakan kerajaan dalam menstabilkan harga barang keperluan dan menurunkan kadar pengangguran. Trend pertumbuhan ekonomi yang baik tidak akan berubah walaupun menghadapi dampak penularan COVID-19 untuk suatu jangka yang pendek.

Sehubungan itu, keyakinan dunia terhadap pasaran China tidak tergugat sekalipun. Walmart mengumumkan penambahan pelaburan sebanyak RMB3 bilion (MYR1.85 bilion) di Wuhan saat lalu lintas bandar itu dibuka semula selepas pelaksanaan perintah berkurung dibatalkan pada 8 April lalu. Difahamkan, pada hari itu, Wuhan menyaksikan penandatanganan 11 projek kerjasama melibatkan pelaburan sebanyak RMB27 bilion (MYR16.68 bilion). Menurut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), China antara beberapa buah entiti ekonomi utama yang akan mencatatkan pertumbuhan positif, dengan kadar pertumbuhan pada paras 9.2 peratus pada 2021.

Biarpun berhadapan cabaran getir ekoran penularan wabak dan kemerosotan ekonomi dunia, China mampu mengendalikan kedua-dua krisis ini di samping memacu pertumbuhan ekonomi domestik hingga menyumbang kepada kemantapan ekonomi global.

高蕾