Tidak Bermoral Perguna Angka Kematian

2020-04-21 14:53:54  CRI
Share with:

Sekali lagi, pemimpin Amerika Syarikat (AS) menabur fitnah tentang angka kematian akibat wabak COVID-19 di China ketika menyampaikan taklimat kepada orang ramai.

Pemimpin tersebut sebelum ini mendakwa angka kematian di China jauh lebih tinggi daripada di AS, khabar angin yang disebarkannya menerusi media sosial. Pada hakikatnya, setiap nyawa yang terkorban akibat wabak merupakan tragedi yang sungguh memilukan. Apabila politikus enggan menghormati dan melindungi nyawa rakyat malah memandangnya sebagai suatu alat politik, hancurlah garis batas prinsip moral manusia. Pada masa ini, situasi wabak di AS semakin teruk, begitu juga rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.

Untuk mengalihkan tumpuan masyarakat daripada ketidakcekapan pihak sendiri, pemimpin negara itu cuba mengambinghitamkan China dengan membuat bermacam-macam tuduhan.  

The New York Times dalam laporannya baru-baru ini mengatakan semakin ramai anggota Parti Republikan yang merasakan bahawa tindakan menyalahkan China sebagai “tempat asal patogen” berkenaan mungkin cara terbaik untuk mengelak daripada terkecundang dalam pilihan raya yang dianggap mencabar. 

Bagi China, nyawa manusia yang paling diutamakan dalam pencegahan dan kawalan wabak. Untuk memberi penghormatan terhadap nyawa yang terkorban, markas pencegahan wabak di Wuhan mengemas kini jumlah kes jangkitan yang dilaporkan serta angka kematian di bandar tersebut. Selepas disemak semula, angka kematian meningkat 1,290 daripada laporan asal iaitu 2,579 kepada 3,869.      

Pembetulan data wabak satu kelaziman antarabangsa. Pengarah teknikal program kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria van Kerkhove menyatakan memang sukar untuk menghimpunkan statistik secara tepat sewaktu wabak sedang menular. Adalah dijangka banyak negara akan menghadapi situasi serupa dan perlu mengemas kini data mereka. 

Menyentuh dakwan pemalsuan data, Menteri Kesihatan Kanada Patty Hajdu berkata tiada bukti yang menunjukkan China telah berbuat demikian berhubung maklumat kadar jangkitan dan kematian. 

Disebabkan adanya mereka yang hanya berdiam diri mengenai isu dalam negeri tetapi berdegar-degar membuat tohmahan terhadap negara lain dengan niat mengelakkan tanggungjawab sendiri, inilah yang kemungkinan menjadi penyebab terbesar AS gagal melawan wabak.

王瑾