Sampai Bila Sanggup Berbohong?

2020-05-07 13:58:30  CRI
Share with:

Timbul lagi kesangsian berhubung masa COVID-19 mula menular di Amerika Syarikat (AS), apabila tampil seorang tokoh berprofil tinggi yang mengaku dirinya dijangkiti penyakit itu dua bulan lebih awal daripada kes pertama yang dilaporkan pihak berkuasa.

Michael Melham, datuk bandar Belleville di Negeri New Jersey baru-baru ini menyatakan beliau kemungkinan dijangkiti seawal November tahun lalu, dan ujian telah mengesahkan kehadiran antibodi COVID-19 di dalam tubuhnya.

Di hadapan bukti yang makin menggunung tinggi, sampai bilakah politikus Washington sanggup berbohong kepada dunia?

Salah satu keraguan berpunca dari sikap AS yang sering mengelak daripada menjelaskan garis masa penularan wabak dalam negeri. Sebelum ini, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Robert Redfield mengakui sebahagian kes kematian pada musim influenza seawal September 2019 adalah akibat COVID-19.

AS juga gagal menjelaskan maklumat asas seperti jumlah kes positif dan kematian, malah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pakar bidang berkenaan. Kecuaian merekalah yang menyebabkan statistik masih dikumpulkan oleh sekolah pengajian tinggi hingga sekarang.

Washington bahkan terang-terangan mendiamkan ahli sains, perbuatan yang bukan sahaja membelakangi prinsip cabang ilmu tersebut malah akan lebih menyukarkan usahanya melawan wabak.

Aneh sungguh melihat negara yang dikatakan paling maju di dunia ini kelam-kabut menguruskan pemerolehan dan pengagihan bahan-bahan melawan wabak, hinggakan setiap negeri terpaksa berjuang bersendirian.

Bukanlah satu misteri lagi mengapa pemerebakan COVID-19 kian menjadi-jadi di AS, bilamana politikusnya hanya bersungguh-sungguh berbohong dan menyembunyikan keadaan semata-mata untuk menutup ketidakcekapan sendiri. Negara yang terdepan dalam perubatan dan teknologi, kini terdepan pula dalam tragedi.

高蕾