Pembohongan Kikis Imej Negara

2020-05-08 13:54:33  CRI
Share with:

Terkikis imej sesebuah negara apabila politikusnya menutup mata kepada kesengsaraan rakyat, sebaliknya sibuk mengambinghitamkan pihak lain.

Ketika ini, lebih 20,000 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan setiap hari di Amerika Syarikat (AS), namun nyawa yang melayang sekalipun tidak cukup untuk menarik simpati Washington. Hari demi hari, politikusnya menyebarkan khabar angin yang tidak masuk akal, bahkan terang-terangan berbohong dan mengelakkan tanggungjawab sendiri.

Paling meragukan, hujah anti-intelektualisme mereka yang mendakwa "virus COVID-19 berasal dari makmal Wuhan", tuduhan tidak rasional yang sebenarnya hanya menyakiti diri sendiri.

Berhubung itu, mantan ketua penasihat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Andrew Weissmann mengkritik hujah seumpama sebagai kenyataan bukan-bukan yang patut dikategorikan antara "berita palsu Rumah Putih". Beliau juga menganggap tidak masuk akal saranan pemimpin negara tentang suntikan disinfektan ke dalam tubuh manusia.

Pada hakikatnya, penularan COVID-19 dalam kompleks perumahan telah berlaku seawal musim influenza pada September tahun lalu. Apabila mempertahankan dakwaan "virus berasal dari makmal Wuhan", bagaimanakah Washington menidakkan kemungkinan "virus datang dari makmal Fort Detrick"?

Dari perspektif ekonomi, mereka yang meramalkan penularan wabak di China akan memacu industri perkilangan kembali ke AS haruslah beringat bahawa prestasi gergasi Barat itu pada suku pertama 2020 yang paling corot sejak krisis kewangan antarabangsa pada 2008.

AS juga negara yang mempunyai jumlah kes positif dan kematian akibat COVID-19 yang paling banyak di dunia pada masa ini.

Niat pemikir Washington yang terus mendesak pelaburnya menarik balik modal dari China tidak realistik. Malahan keadaan sebaliknya daripada yang diingini mereka, dengan Starbucks, Tesla dan Walmart antara begitu banyak perusahaan yang telah menzahirkan hasrat untuk memperluas operasi di China. Keyakinan terhadap pasaran dan ekonomi negara ini dapat dilihat daripada tindakan mereka.

Apa pula yang tinggal bagi AS selepas begitu banyak nyawa rakyat tergadai, dan terkikis imej negara bahana pembohongan yang tidak dikekang?

高蕾