Bencana Alam Jadi Malapetaka

2020-05-13 13:46:38  CRI
Share with:

Yang asalnya hanyalah satu bencana alam telah menjerumuskan dunia Barat ke dalam malapetaka buatan manusia.

Pada masa ini, Amerika Syarikat (AS) telah melaporkan hampir 1.35 juta kes positif COVID-19, dengan angka kematian yang melebihi 80 ribu.

Pada bulan lepas, kira-kira 20.5 juta penduduknya yang bukan pengusaha pertanian telah kehilangan kerja. Angka ini bersamaan dengan jumlah keseluruhan pekerjaan baharu yang dicipta di negara itu dalam sedekad lalu.

Akhbar The Washington Post menyifatkan situasi semasa sebagai krisis ekonomi paling serius bagi AS dalam masa seabad. Mengapa gergasi ekonomi yang sistem perubatannya paling canggih di dunia boleh terjebak dalam keadaan begitu suram?

Memetik bekas pengarah pejabat dasar ekonomi dan perniagaan London, John Ross, AS kini bergelut bahana kemelesetan gara-gara mentaliti Perang Dingin serta percaturan bukan-bukan yang menjadi amalan pemimpinnya.

Ketika COVID-19 baru mula merebak, Washington menunjukkan keangkuhan dan kelalaian yang cukup mengejutkan, sengaja mengabaikan maklumat dan peringatan daripada pihak China.

Mereka bahkan meremehkan pandemik COVID-19 dengan mengatakan wabak itu hanyalah sejenis "flu yang besar-besaran" dan tiada perlunya memakai pelitup muka. Ada juga yang bermegah-megah bahawa pandemik itu satu peluang baik untuk menjana perniagaan dan pekerjaan.

Felo penyelidik penyakit berjangkit, Britta L. Jewell dari Kolej Sains, Teknologi dan Perubatan Diraja London dalam rencananya yang disiarkan The New York Times menyatakan banyak kematian akibat COVID-19 di AS sebenarnya dapat dielakkan.

Beliau menganggarkan 90% kematian dapat dicegah sekiranya perintah berkurung yang dilaksanakan mulai 16 Mac dikuatkuasakan dua minggu lebih awal iaitu pada 3 Mac, dan 60% dapat diselamatkan jika langkah kawalan itu diawalkan walau hanya seminggu.

Dr. Henry Kissinger, diplomat yang telah banyak menyumbang kepada hubungan China-AS, agak keberatan untuk membuat spekulasi berhubung nasib negaranya. Beliau berkata, mungkin ada sinar harapan buat AS sekiranya China menghulurkan tangan membantu.

覃淼