Politikus Akar Kebencian di AS

2020-05-25 13:12:04  CRI
Share with:
Semakin teruk wabak COVID-19 menular, semakin buruk penyakit rasisme berakar di Amerika Syarikat (AS), hinggakan doktor yang bergadai nyawa menyelamatkan pesakit juga menjadi mangsa cacian gara-gara darah keturunan.

Salah seorang daripadanya, Dr. Lucy Li yang bertugas di jabatan anestesiologi Hospital Besar Massachusetts. Menurut laporan The Washington Post, Li dimaki sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja ketika COVID-19 baru mula merebak di AS. Di tempat kerja pula, ada pesakit yang enggan menerima rawatannya kerana dia orang keturunan Cina.

Jika dijejak masalah kebencian ini sampai ke akarnya, ternyata sentimen itu diapi-apikan oleh politikus di Washington. Sejak awal pemerebakan COVID-19, mereka sengaja menghasut antagonisme dan mempersalahkan negara lain sebagai modal politik dan jalan keluar untuk menutup kegagalan pihak sendiri dalam membendung wabak.

Ada pula pengamal media yang mengikut telunjuk politikus menyebarkan kebencian antara kaum, yang menjadikan keretakan dalam masyarakat bertambah buruk.
 
Sebuah tinjauan umum pada April lalu menunjukkan selepas wabak tercetus, 60% warga AS keturunan Asia pernah menyaksikan ancaman atau gangguan terhadap anggota komuniti mereka.

Layanan tidak adil terhadap kelompok tersebut secara langsungnya menyukarkan kerja-kerja pencegahan dan kawalan wabak di AS. Dilihat dari perspektif jangka panjang, hasutan berbaur rasisme oleh politikus hanya akan menjejaskan kepentingan negara sendiri.

Kini, orang keturunan Asia yang mewakili 6% populasi AS terlibat sepenuhnya dalam pembangunan sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi serta budaya.

Politikus yang teruja hendak menyambung semula operasi ekonomi perlu beringat, sekiranya warga keturunan Asia terus menjadi mangsa diskriminasi, yang akan rugi itu sosioekonomi negara sendiri.
曹捷