Niat Kudlow Angan-angan Mat Jenin

2020-06-05 15:17:56  CRI
Share with:

Seperti angan-angan Mat Jenin, begitulah niat Amerika Syarikat (AS) hendak merenggangkan hubungan dengan China.

Lidah pengarang The Wall Street Journal kelmarin mengingatkan tokoh-tokoh bidang keselamatan Washington bahawa tindakan memutuskan rantai bekalan dan kerjasama pendidikan hanya akan membawa kerugian kepada diri.

Persoalan yang dibangkitkan media itu, adakah AS sudah bersiap sedia menanggung rugi andai kata renggangnya hubungan dengan China?

Baru-baru ini, penasihat ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow menggesa perusahaan AS berundur dari pasaran China.

Sebagaimana yang dinyatakan Profesor Cheng Yung-nien dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), syarikat AS paling banyak mendapat untung daripada pusingan semasa pembahagian kerja antarabangsa. Tindakan merenggangkan hubungan ekonomi sebenarnya melanggar lojik modal. Bagi mana-mana syarikat, yang perlu terlebih dahulu dipertimbangkan jika mahu merenggangkan hubungan ekonomi ialah isu kos.

Sikap perusahaan AS terhadap gesaan Kudlow itu boleh dilihat daripada tindakan terbaharu mereka. Syarikat Honeywell telah membuka ibu pejabat dan pusat inovasi di Wuhan; Tesla mengumumkan pelan peluasan kilang di Shanghai; Exxon Mobil melancarkan projek loji etilena di Guangdong; Costco bersiap sedia membuka kedai kedua di Shanghai; Starbucks pula akan membina sebuah taman industri inovasi kopi di China.

Presiden Dewan Perniagaan AS di China, Alan Beebe beranggapan China lebih hadapan dari segi pemulihan ekonominya, selepas berjaya mencapai hasil strategik dalam pencegahan dan kawalan wabak COVID-19. Faktor yang menjadikan syarikat asing tertarik untuk melabur di China masih lagi wujud pada masa ini.

China yang berpopulasi 1.4 bilion pasaran yang cukup menarik bagi syarikat multinasional. Prasarana yang semakin lengkap, pembaharuan dan keterbukaan yang dipertingkat, serta iklim perniagaan yang dioptimumkan turut memperkukuh keyakinan pengusaha asing untuk terus berurus niaga di China.

覃淼