Undang-Undang Baharu Titik Penting

2020-06-17 13:13:45  CRI
Share with:

Sarjana dari serata dunia rata-rata berpendapat penggubalan undang-undang keselamatan negara melibatkan Hong Kong satu titik penting bagi transformasi wilayah itu daripada diwarnai kekacauan kepada keadaan bertadbir urus. Peserta simposium antarabangsa mengenai dasar “satu negara, dua sistem” di Shenzhen baru-baru ini melihat undang-undang itu sebagai jaminan yang mustahak bagi memastikan kelestarian pelaksanaan dasar berkenaan di Hong Kong. Simposium tersebut yang dihadiri hampir 200 pakar dan sarjana dari beberapa negara, dianjurkan sempena ulang tahun ke-30 penguatkuasaan Undang-undang Asas Hong Kong dengan memfokuskan pendekatan bagi mengekalkan dan menambah baik mekanisme “satu negara, dua sistem”.

Pada tahun lalu, masyarakat Hong Kong bergolak selepas puak anti-China yang bersubahat dengan beberapa kuasa luar mencetuskan rusuhan membantah pemindaan Ordinan Pesalah Pelarian. Kekerasan yang menjadi ciri utama rusuhan terbabit mengancam keselamatan nyawa dan harta penduduk tempatan, merosakkan suasana perniagaan, menjejaskan order perlembagaan wilayah pentadbiran khas itu sekali gus mencabar keselamatan negara China.

Profesor Anthony Carty dari Britain yang bertugas di Sekolah Undang-undang Universiti Teknologi Beijing dalam simposium itu menyatakan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) mendorong penggubalan undang-undang keselamatan negara melibatkan Hong Kong kerana kelakuan ganas semasa demonstrasi tahun lepas melampaui batas yang dapat dikawal polis secara munasabah. Inilah realiti yang menjadi pertimbangan di balik langkah NPC itu.

Tokoh-tokoh yang turut hadir bersependapat undang-undang yang bakal berkuatkuasa di Hong Kong akan menghidupkan semula wilayah itu, dan telah memberi isyarat positif kepada pelabur antarabangsa. Firma penarafan Standard & Poor’s mengganggap penggubalan undang-undang berkenaan tidak akan mengubah kebebasan kewangan Hong Kong. Taraf kredit berdaulat Hong Kong tidak akan diturunkan, kerana tindakan Amerika Syarikat membatalkan status layanan khas terhadap wilayah itu serta sekatan eksport yang dikenakannya cuma akan membawa impak kecil.

曹捷