Akta AS, Umpama Sokong Keganasan

2020-06-19 13:49:03  CRI
Share with:

 “Akta Dasar Hak Asasi Uygur 2020” yang diluluskan Amerika Syarikat (AS) kelmarin, sewenang-wenangnya mencela keadaan hak asasi di Xinjiang serta mengutuk dasar kerajaan China di wilayah itu. Perbuatan AS itu dikecam keras pihak China kerana telah mencabul undang-undang dan norma asas hubungan antarabangsa, juga dilihat sebagai satu campur tangan terhadap urusan dalaman negara ini.

Isu Xinjiang bukan soal hak asasi manusia, etnik dan agama, sebaliknya berkaitan dengan antikeganasan dan antipemisahan.

Pada tahun lepas, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah berkenaan meningkat 6.2%, lebih tinggi daripada purata seluruh negara. Kadar kemiskinan di desa pula jatuh daripada 19.4% pada 2013 kepada 1.24% pada hujung 2019. Langkah membanteras keganasan dan ekstremisme di Xinjiang telah menjamin hak kehidupan dan pembangunan 25 juta penduduknya yang berbilang etnik. Pengalaman ini turut menjadi sumber rujukan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk dunia Barat.

Bagaimanapun, sesetengah politikus AS mengamalkan dwistandard dalam isu antikeganasan dan hak asasi, bahkan mendanai kumpulan pemisah di China yang mempunyai kaitan dengan kumpulan keganasan. Pada Mac lalu, laman sesawang berita bebas Greyzone mendedahkan bahawa dana yang disalurkan Endowmen Kebangsaan bagi Demokrasi (NED) AS sejak 2016 sudah mencatat USD1.284 juta (RM5.5 juta). Seperti yang dinyatakan beberapa penganalisis antarabangsa, politikus AS menggambarkan rusuhan dahsyat di Hong Kong tahun lalu sebagai suatu “pemandangan indah” dan mengutuk pula tindakan antikeganasan di Xinjiang sebagai “pencabulan hak asasi”. Buruk sungguh dwistandard yang ditunjukkan mereka.

Keganasan sebenarnya musuh bersama umat manusia, terutamanya tatkala seluruh dunia sedang berjuang bermati-matian untuk membendung wabak COVID-19. China dan AS sepatutnya bekerjasama, namun sesetengah politikus AS sanggup menjadi “subahat” pengganas demi kepentingan sendiri sehingga menjejaskan kerjasama melawan wabak dan pembangunan mampan sedunia.

张宪