Sistem Beidou, Penggerak Inovasi

2020-06-24 14:00:18  CRI
Share with:

Pelancaran satelit terakhir dalam sistem pandu arah Beidou pagi semalam menandakan siapnya pembentukan sistem navigasi tersebut. Ini suatu pencapaian bersejarah bagi industri aeroangkasa malah sains dan teknologi China, yang turut menyangga ekonomi global dan menyuntik momentum baharu kepada pembangunannya.

Sistem pandu arah satelit Beidou yang dilancarkan pada 1994, kini salah satu daripada empat sistem seumpama di dunia. Antara keunikannya termasuklah integrasi antara fungsi komunikasi dan pandu arah.

Kejayaan ini mencerminkan dua elemen yang menjadi teras inovasi sains dan teknologi China, iaitu prinsip berdikari dan terbuka.

Yang sentiasa ditekankan dalam penyelidikan dan pembangunan Beidou ialah penyetempatan, membolehkan kesemua komponen teras serta produk-produk di fasa kemudian dimahiri, dikuasai dan dibina sendiri. Pada masa yang sama, satu rantai industri yang lengkap turut dibentuk membabitkan produk hinggalah perkhidmatan berkaitan, yang semuanya memiliki hak intelek tersendiri.

Sistem Beidou juga dibangunkan dengan berlandaskan konsep kerjasama sains dan teknologi yang terbuka dan inklusif. Untuk menggalakkan kesalinghubungan, Beidou membentuk mekanisme kerjasama bilateral dengan tiga sistem navigasi utama yang lain di dunia.

China berkongsi hasil teknologi, produk dan penggunaan sistem Beidou dengan negara-negara lain, supaya rakyat di serata dunia dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan sistem tersebut.

Pemangku pengarah Pejabat Angkasa dan Teknologi Maju Jabatan Negara AS, David A. Turner menyatakan bahawa sistem Beidou memperkasakan navigasi satelit dunia hingga memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna global.

Sistem Beidou merupakan prasarana ruang angkasa pertama China yang menyediakan perkhidmatan awam kepada seluruh dunia. Penempatan sistem ini penting peranannya demi pembangunan sosial, pencegahan bencana dan kawalan wabak, serta transformasi ekonomi pelbagai negara.

Kini, lebih separuh negara di dunia sedang menggunakan sistem Beidou. Industri Beidou dan industri terbitannya akan memancu pembangunan ekonomi negara-negara terlibat dan mencipta ruang baharu bagi pembangunan mereka.

Sistem Beidou turut menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa. Jabatan angkasa lepas PBB (UNOOSA) mengutus video tahniah dan mengiktiraf peranan Beidou dalam menggalakkan pembangunan sosioekonomi dunia.

The Daily Mail Britain menyifatkan sistem Beidou sebagai "kejayaan cemerlang" manakala penyelidik ruang angkasa Rusia, Sergey Filippenkov mengatakan bahawa Asia Timur, Asia Barat, Afrika Timur bahkan seluruh Afrika memerlukan perkhidmatan yang ditawarkan sistem Beidou.

Sistem Beidou dilihat sebagai sumbangan China untuk berkongsi hasil sains dan teknologi, serta hasratnya untuk membekalkan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi kepada dunia. Iltizam untuk mengejar masa depan lebih indah buat umat manusia inilah yang menjadi penggerak sains dan teknologi China.

覃淼