Ekonomi Digital Tetap Enjin Utama

2020-07-10 13:50:11  CRI
Share with:

Sektor ekonomi digital China terus berkembang maju dalam masa beberapa dekad lalu, mencipta banyak peluang pekerjaan. Antara sembilan jenis kerjaya baharu yang diumumkan pihak rasmi China baru-baru ini, empat daripadanya berkait rapat dengan ekonomi digital iaitu kakitangan kejuruteraan dan teknikal blockchain, pemasar dalam talian, penguji keselamatan maklumat dan jurulayan perkhidmatan pembelajaran dalam talian. 

Ini bukan sahaja akan membuka lagi ruang pekerjaan, malahan akan menjadi titik pertumbuhan baharu bagi pembangunan ekonomi China. Menurut Kertas Putih Pembangunan Ekonomi Digital terbitan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT), nilai tambahan ekonomi digital China pada tahun 2019 mencecah RMB35.8 trilion (RM21.8 trilion), mewakili 36.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh melonjak daripada hanya 14.2% pada 2005. 

Pada 2019, sektor tersebut menyumbang sebanyak 67.7% kepada pertumbuhan KNDK, menjadikannya penjana utama bagi ekonomi China. Antaranya, prestasi industri-industri perkhidmatan melibatkan ekonomi digital di tempat paling hadapan, terutama sekali e-niaga dan ekonomi berkongsi yang amat besar sumbangannya kepada pertumbuhan seluruh sektor. 

Ekonomi digital sedang mencorakkan semula pembangunan ekonomi China dalam segenap aspek, menggalakkan pelbagai bidang termasuk pembuatan, pertanian, pengangkutan, pendidikan dan perubatan berkembang ke arah operasi secara digital, dalam talian dan pintar, selain mendorong pembangunan ekonomi dengan lebih berkualiti. 

Pasaran berskala raksasa dan potensi yang begitu besar, faktor yang membolehkan ekonomi digital berkembang begitu pesat di China. Jumlah pengguna Internet juga memotivasikan syarikat tempatan dan asing untuk terus meneroka teknologi dan produk baharu. Pengindustrian teknologi digital seperti 5G, data besar, perkomputeran awan dan blockchain telah membina platform asas buat pembangunan ekonomi digital di China. 

Pada masa yang sama, langkah-langkah kerajaan China yang menggalakkan pembangunan berdasarkan inovasi menjadi sokongan dasar makro yang kuat kepada ekonomi digital. Boleh dijangka, pada zaman pasca wabak COVID-19, ekonomi digital akan terus menjadi enjin utama bagi pembangunan ekonomi China. 

Justeru, pembangunan sektor berkenaan di China mungkin dapat menjadi rujukan untuk pemulihan ekonomi sejagat yang teruk terkesan akibat wabak itu. 
 

曹捷