China, Vietnam Bincang Kerjasama

2020-07-22 14:31:26  CRI
Share with:

Perdagangan antara China dan Vietnam menyaksikan peningkatan yang luar biasa pada kadar melebihi 18% dalam tempoh separuh pertama tahun ini, selepas masing-masing memanfaatkan kelebihan sendiri bagi menjayakan kerja-kerja kawalan pandemik COVID-19 di dalam negeri.

Menteri Luar China, Wang Yi mengujarkan demikian semasa mempengerusikan mesyuarat ke-12 Jawatankuasa Bimbingan Kerjasama Bilateral China-Vietnam bersama rakan sejawatnya, Pham Binh Minh di Beijing semalam.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Wang menyatakan demi strategi geopolitiknya, AS mengapi-apikan keadaan dan menunjuk-nunjuk kekuatan dengan menghantar kapal perang dan pesawat. Tujuannya adalah untuk mencetuskan ketegangan dan huru-hara di perairan berkenaan, sehingga menjejaskan perpaduan antara negara-negara di rantau ini.

Adalah mustahak bagi China dan Vietnam merungkai percanggahan menerusi saluran dialog, sambil mencari penyelesaian yang adil dan munasabah berpandukan persepakatan yang telah dicapai secara dua hala.

Pham Binh Minh menegaskan, Vietnam sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan hubungan dengan China dalam pelaksanaan dasar luarnya. Ikatan kedua-dua negara mempunyai prospek perkembangan yang cerah pada masa hadapan.

Beliau turut menyuarakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan China bagi memelihara ketenteraman di perairan Laut China Selatan, di samping memacu sinergi dalam bidang maritim serta pembangunan bersama.

周乔西