Keputusan Tak Masuk Akal Politikus AS Membebani Dunia

2020-08-06 13:36:57  CRI
Share with:

Wartawan Reuters, Shrutee Sarkar dalam rencananya baru-baru ini mengatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) yang dahulu enjin utama pertumbuhan ekonomi global sebelum penularan wabak COVID-19, kini berdepan risiko menjadi beban terbesar kepada dunia.

Walaupun Rizab Persekutuan Amerika (Fed) menjanjikan pakej rangsangan tidak terhad bagi menyokong entiti ekonomi terbesar itu, namun ini masih tidak dapat menghalang ekonominya daripada terjerumus ke dalam kemelesetan.

Baru-baru ini, indeks dolar Amerika merudum ke tahap paling rendah dalam dua tahun, dan pada bulan lalu merekodkan kadar penurunan paling besar dalam sedekad. Sejak Mac, jumlah keseluruhan orang yang telah kehilangan kerja melebihi 51 juta. Dalam pada itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua menguncup 32.9%, iaitu kadar penurunan paling besar sejak 1947.

Kesilapan terbesar kerajaan AS dalam responsnya terhadap wabak COVID-19 ialah keengganannya untuk memikirkan dari aspek sains, sebaliknya hanya sibuk berbicara tentang politik. Akibatnya, wabak menular hingga tidak terkawal di dalam negeri, kadar pengangguran melambung naik dan ekonomi teruk terjejas.

Dalam setiap keputusan salah Washington, terlihat sikap mementingkan diri politikusnya pada tahun pilihan raya ini. Yang tergadai semata-mata demi undi itu nyawa dan kesejahteraan rakyat, serta masa depan negara sendiri. Bahana keputusan semberono kerajaan semasa, AS kini menjadi risiko utama kepada pemulihan ekonomi global.

Pada masa ini, lebih 4.7 juta kes positif COVID-19 telah dilaporkan di AS dengan angka kematian melebihi 150 ribu, namun penularan wabak tersebut di negara itu masih belum berakhir. Media dan tokoh-tokoh sektor kesihatan masing-masing memberi amaran bahawa melihatkan trend penularannya, AS akan menghadapi satu lagi gelombang wabak yang tidak dapat ditanggung sekiranya tindakan tidak diambil untuk membaiki keadaan. 

覃淼