Shenzhen, Paparan Kedinamikan

2020-08-19 12:32:00  CRI
Share with:

Shenzhen semalam meraikan ulang tahun pertama penubuhan zon demonstrasi bagi sosialisme bercirikan China.

Sehari sebelum, pihak berkuasa Shenzhen mengumumkan bandar itu kini dilengkapi liputan penuh rangkaian 5G dengan adanya lebih 46,000 stesen pemancar yang telah siap dibina, sekali gus menjadikannya kota 5G pertama dunia.

Sewaktu berada di Shenzhen pada Oktober 2018, Presiden Xi Jinping berikrar kepada dunia bahawa ayunan langkah pembaharuan dan keterbukaan China tidak akan berhenti.

Penularan COVID-19 serta iklim domestik dan antarabangsa yang rumit pada separuh pertama tahun ini tetap tidak menghambat prestasi Shenzhen, yang terus mengekalkan pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh tersebut. Ini berkat inovasi yang dijadikan strategi utama dalam pembangunan bandar itu.

Sementara itu, Shenzhen juga giat memperdalam pembaharuan, dan terdepan dalam membina suasana perniagaan yang berorientasikan pasaran, berasaskan undang-undang dan bersifat antarabangsa. Pencapaian cemerlang turut dilihat dalam aspek perlindungan harta intelek.

Dalam membangunkan sebuah zon demonstrasi bagi sosialisme bercirikan China, Shenzhen bukan sahaja memainkan peranan sebagai satu teladan, malah telah berkembang maju secara komprehensif dari segi budaya, masyarakat dan ekologi.

Dengan berpandukan sasaran status bandar contoh bagi sebuah negara sosialis moden yang kuat, seluruh dunia akan melihat sebuah Shenzhen yang lebih dinamik dan juga China yang lebih hidup, yang akan sekali gus mencipta lebih banyak peluang buat semua.

高蕾