Menteri Luar China, Indonesia Berunding

2020-08-21 13:08:52  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi di Baoting, provinsi Hainan semalam.

Wang berkata, tahun ini ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik China-Indonesia. Pada tahun yang cukup penting ini, China bersedia bersama-sama Indonesia terus memperluas kerjasama, meningkatkan konsensus dan menggalakkan kemajuan lebih besar dalam hubungan bilateral.

Beliau juga menekankan bahawa tugas paling mendesak ketika ini adalah mendorong penyelidikan dan pembangunan vaksin COVID-19, serta usaha sama membendung wabak. China komited menawarkan vaksin yang bakal dihasilkannya nanti sebagai produk awam global, dan keutamaan akan diberi kepada negara-negara membangun.

Kedua-dua pihak perlu terus mempercepat penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi Poros Maritim Dunia (PMD), sambil menjayakan projek kereta api Jakarta-Bandung dan koridor ekonomi komprehensif serantau. Kerjasama dalam bidang 5G, data besar, kecerdasan buatan (AI) dan e-niaga hendaklah digalakkan lagi demi pembangunan yang mampan dan berkualiti.

Beliau menambah bahawa rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan yang diadakan mengikut prinsip sama rata  menggambarkan kata sepakat yang dicapai China dengan negara-negara ASEAN, yang selaras dengan kepentingan negara serantau serta undang-undang antarabangsa. China bersedia berusaha bersama negara-negara ASEAN termasuk Indonesia untuk memuktamadkan CoC dengan seawal mungkin agar melindungi ketenteraman dan keselamatan di perairan berkenaan.

Dalam pertemuan sama, Retno Marsudi telah menyampaikan surat Presiden Jokowi kepada Presiden Xi Jinping menerusi Wang Yi.

Beliau berkata, Indonesia bersetuju mengekalkan hubungan baik kedua-dua pihak. Vaksin COVID-19 yang dibangunkan China dipercayai akan diagihkan kepada negara membangun secara adil, mampu milik dan ekonomik, dan kerajaan Indonesia menyokong syarikat tempatan menjalankan kerjasama pembangunan vaksin dengan syarikat China.

Katanya lagi, China rakan kerjasama penting bagi negara ASEAN. Indonesia bersedia bersama-sama China melindungi keamanan dan kestabilan Laut China Selatan berdasarkan rasa saling hormat dan percaya.

张宪