Cermin Muka Sebelum Mengata

2020-09-02 11:38:57  CRI
Share with:

Mike Pompeo perlu mencermini muka sendiri dahulu sebelum mengata orang lain.

Setiausaha Negara AS itu membuat lagi tuduhan tidak berasas terhadap China, kali ini mendakwa pertumbuhan ekonomi negara ini dicapai dengan tidak mengendahkan perlindungan alam sekitar.

Mereka yang mengikuti perkembangan ekonomi China pasti sudah tahu bahawa pembangunan hijau amat dititikberatkan negara ini ketika mengejar pembangunan berkualiti. Pada 2018, pelepasan karbon dioksida bagi seunit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut 45.8% berbanding 2005. Di peringkat global, China telah bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan di bawah Persidangan Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), Perjanjian Paris dan Konvensyen Basel, membuat sumbangan positif dalam tadbir urus alam sekitar sejagat.

Mantan Penyelaras PBB di China, Nicholas Rosellini menyanjung tinggi peranan China dalam mendorong pelaksanaan Perjanjian Paris serta pencapaiannya dalam merintis pembangunan ekonomi hijau.

Sikap sebaliknya ditunjukkan AS, negara yang bukan sahaja jumlah pelepasan gas rumah hijaunya paling banyak di dunia, malahan telah menarik diri daripada Perjanjian Paris pada 2017 bagi menolak kewajipan yang sewajarnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Selaku pengeksport sisa pepejal terbesar di dunia, AS telah menjadikan negara-negara membangun tapak pelupusan sampah sarapnya, tindakan yang membawa kerosakan besar kepada persekitaran global.

Tanpa mempedulikan perbuatan buruk pihak sendiri, Pompeo memfitnah pula negara yang telah membuat sumbangan positif kepada pembangunan hijau. Kelakuannya itu menurunkan lagi reputasi AS di arena antarabangsa.

Padahal, kewajipan antarabangsa yang ditolak AS bukan setakat dalam perlindungan alam sahaja. Kerajaan AS penggal ini telah menarik diri daripada begitu banyak pertubuhan dan perjanjian antarabangsa termasuk Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan perjanjian nuklear Iran. Semata-mata untuk memaksimumkan kepentingan politik sendiri, hampir semua perjanjian antarabangsa dibuang ke tepi dengan begitu sahaja.

张哲