Pasaran China Berdaya Tarik Modal Asing

2020-09-08 13:51:22  CRI
Share with:

Keyakinan pelabur asing terhadap pasaran China dapat dilihat daripada sahutan yang diberikan institusi kewangan terunggul dunia terhadap Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2020 yang berlangsung di Beijing ketika ini.

Pameran perkhidmatan kewangan yang merupakan antara lapan acara bertema sempena CIFTIS, menyaksikan penglibatan aktif 43 agensi dari 18 negara dan wilayah termasuk firma unggul seperti Morgan Stanley, UBS dan Deutsche Bank.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, China telah memperkenalkan siri langkah untuk memperluas keterbukaan sektor kewangan. Dalam setengah tahun lalu, banyak bank pelaburan dan bank komersial asing memasuki pasaran China sehingga terbentuknya satu pola baharu.

Menjelang perasmian CIFTIS, Citibank (China) mengumumkan pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pengawalseliaan Sekuriti China (CSRC) untuk menjalankan urus niaga simpanan dana, menjadikannya bank Amerika Syarikat (AS) pertama yang diberi lesen untuk tujuan tersebut.

Selain itu, JPMorgan Chase Futures secara rasmi menjadi syarikat niaga hadapan milik asing sepenuhnya yang pertama di China, manakala Express Technology, anak syarikat usaha sama American Express di China menjadi syarikat asing berlesen pertama yang menjalankan transaksi penjelasan RMB di Tanah Besar China.

Laporan terkini The Peterson Institute for International Economics (PIIE) menyebut bahawa skala pasaran perkhidmatan kewangan China kini mencatat USD47 trilion (RM196 trilion). Sekiranya institusi asing dapat meningkatkan syer pasarannya, mereka boleh memperoleh keuntungan yang cukup besar. Banyak institusi AS yang terlibat dalam proses ini, menjadikan niat sesetengah pihak yang mahu memutuskan hubungan dengan pasaran China lebih mustahil.

Pada masa ini, China sedang berusaha membina sebuah sistem kewangan terbuka yang selaras dengan standard antarabangsa dan bertaraf lebih tinggi, yang akan menjadi “magnet” kuat bagi menarik pelaburan asing. Pasaran kewangan China yang makin terbuka akan melicinkan lagi transaksi kewangan domestik bahkan seluruh dunia, yang dapat menyumbang kepada ekonomi sebenar serta pembinaan sebuah ekonomi global yang saling untung dan berkongsi.

曹捷