Kerjasama China-ASEAN Capai Tahap Lebih Tinggi

2020-09-10 13:50:19  CRI
Share with:

Siri mesyuarat Menteri-menteri Luar Asia Timur yang diadakan secara dalam talian semalam, menyaksikan para peserta berbincang secara mendalam mengenai kerjasama serantau dalam konteks situasi semasa.

Selaku pemain utama kerjasama Asia Timur, China dan ASEAN akan berusaha mencapai persepakatan dan mengintensifkan sinergi dalam usaha melawan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Sejak COVID-19 tercetus, ikatan persahabatan dan kerjasama antara China dengan ASEAN bukan sahaja tidak pudar tetapi berkembang ke tahap baharu. Pada lapan bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan kedua-dua pihak meningkat 7% dengan mencatat USD2.93 trilion (RM12.2 trilion). ASEAN buat pertama kalinya menjadi rakan dagang terbesar bagi China, mendahului Kesatuan Eropah.

Demi menggalakkan pemulihan sosioekonomi semasa wabak berlaku dan pasca wabak, China dan negara-negara ASEAN termasuk Singapura, Laos, Myanmar dan Indonesia telah membina laluan cepat bagi warga serta laluan hijau bagi barangan, manakala penerbangan terus dengan Vietnam dibuka semula. Pembinaan rangkaian laluan cepat dan laluan hijau China-ASEAN dan rantau Asia Timur turut dibincangkan. Adalah menjadi matlamat bersama untuk mendorong pembinaan rangkaian keselamatan kewangan serantau, serta memelihara kestabilan rantai bekalan, industri dan kewangan.

Pada masa ini, China sedang berusaha membentuk pola pembangunan baharu yang mengambil kitaran domestik sebagai tonggak utama, di samping kitaran domestik dan kitaran antarabangsa yang saling menggalakkan. Apabila kitaran domestik ini didinamikkan, permintaan domestik turut akan dirangsang sekali gus mencipta pasaran pengguna yang lebih luas kepada semua pihak termasuk ASEAN.

Tahun 2021 merupakan ulang tahun ke-30 hubungan rakan dialog China-ASEAN. Selepas mengharungi ujian getir akibat wabak, kedua-dua pihak lebih menyedari peri pentingnya mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN. Kedua-dua pihak akan terus menyokong multilateralisme dan perdagangan bebas, mempermudah perdagangan dan kerjasama ekonomi, mencari titik tambahan baharu bagi kerjasama China-ASEAN, dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi serantau dan dunia.

曹捷