Siri Mesyuarat Menteri Luar Asia Timur

2020-09-10 12:48:56  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi telah menghadiri Siri Mesyuarat Menteri Luar Asia Timur yang diadakan secara telesidang semalam.

Dalam mesyuarat 10+1, Wang Yi menyatakan kesediaan China untuk memperhebat pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang pada era pasca wabak. Ini termasuk memberi sokongan kewangan kepada tabung ASEAN bagi melawan wabak, serta merancakkan semula ekonomi serantau melalui langkah seperti mempertingkat skala pertukaran mata wang, memperluas skop pelaksanaan “laluan pantas”, menambah penerbangan komersial, menggalakkan pemeteraian perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping mengintensifkan komunikasi mengenai keselamatan data.

China dan ASEAN juga diharap memperkasakan kerjasama dalam usaha membanteras kemiskinan, mencegah bencana, menangani perubahan iklim dan memulihara alam sekitar.

Bagi memantapkan sinergi dalam jangka panjang, China dan ASEAN disyorkan mencapai persepakatan mengenai pelan tindakan bagi pelaksanaan Perisytiharan Perkongsian Strategik 2021-2025 seawal mungkin.

Dalam mesyuarat 10+3 pula, Wang Yi menekankan supaya pihak-pihak terbabit mengoptimumkan tadbir urus kesihatan awam, pemulihan ekonomi, kemampuan menghadapi cabaran dan pembangunan lestari.

Ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, beliau mengulangi peri pentingnya usaha bersama untuk membendung wabak, menggalakkan kerjasama ekonomi, serta memelihara kedamaian dan pembangunan serantau.

高蕾