Kolaborasi Pompeo Rugikan AS Sendiri

2020-09-10 13:45:59  CRI
Share with:

Kolaborasi “Clean Network” yang diheboh-hebohkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo kebelakangan ini, umpama senjata makan tuan yang hanya akan merugikan rakyat negaranya sendiri.

Pakatan yang dilobi Pompeo itu berniat mengusir produk dan perkhidmatan China membabitkan telekomunikasi, sumber aplikasi, aplikasi, perkhidmatan awan serta kabel rangkaian, tindakan yang sebenarnya hanyalah satu lagi praktik fahaman perlindungan oleh AS, kali ini menyasarkan bidang digital. Andainya dilaksanakan seperti dirancang, kerjasama dan pembangunan sektor digital sedunia pasti teruk terganggu, yang tempiasnya pasti dirasai oleh pengguna AS.

Sebagai contoh, selepas Washington mengumumkan tarikh kuat kuasa larangan penggunaan WeChat dalam negeri, gergasi multinasional seperti Apple, Ford Motor dan Walmart menegaskan kepada Rumah Putih bahawa tindakan tersebut mungkin melemahkan daya saing mereka di pasaran China.

Kali ini, Pompeo dan kemnya mahu memusnahkan syarikat China. Tidak menghairankan sekiranya syarikat dari negara lain pula yang menjadi sasaran mereka seterusnya. Ini sudah pasti menggoyahkan keyakinan pelabur terhadap AS, malahan membuat mereka ingin lebih segera berundur dari pasaran negara itu.

Tanpa segan silu, Washington membuli pesaingnya dan menghina hukum ekonomi pasaran, yang tentunya akan melemahkan daya saing ekonomi sendiri dalam jangka panjang.

Pada 8 September, China mengemukakan Inisiatif Keselamatan Data Global yang mengetengahkan lapan cadangan, antaranya bagi menentang penyalahgunaan teknologi maklumat untuk mensabotaj infrastruktur, mencuri data penting dan memantau negara lain serta pembinaan pintu belakang dalam produk dan perkhidmatan maklumat.

Sekiranya Pompeo dan kemnya benar-benar mahu melindungi keselamatan data warga AS, mereka disarankan meneliti anjuran-anjuran tersebut dan melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam dunia Internet yang bebas dan terbuka, cara yang betul untuk merungkai masalah tadbir urus data sejagat adalah dengan berbincang bersama, membangun bersama dan berkongsi.

曹捷