Kerana Pompeo, AS Rugi

2020-09-11 13:35:31  CRI
Share with:

Apabila yang didahulukan itu sentiasanya melibatkan niat politik, yang tergadai itu sudah tentulah negara dan rakyat sendiri.

Mike Pompeo, setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) yang tidak putus-putus menimbulkan kontroversi, kali ini dengan angkuhnya mendakwa dia berharap kesemua Institut Konfusius di negaranya ditutup sebelum hujung tahun ini. Tidak cukup dengan itu, dia mengugut pula akan memperkenalkan lagi sekatan terhadap pelajar China yang mahu meneruskan pendidikan di AS dalam beberapa minggu hingga beberapa bulan akan datang.

Dewasa ini, pertukaran sosiobudaya yang dilihat sebagai asas hubungan kedua-dua negara sedang menghadapi situasi yang serius. Warga China yang bertugas di AS disusahi, aktiviti pertukaran pendidikan dan keilmuan diganggu, media China ke AS disekat dan dibuli, dan lebih seribu pelajar dan penyelidik China dibatalkan visa tanpa alasan. Perbuatan AS itu telah mendedahkan bahawa politikusnya sanggup mengorbankan kepentingan negara demi keuntungan sendiri.

Jika pelajar China dihalang daripada melanjutkan pelajaran di AS, ini bukan sahaja akan menyebabkan universiti negara itu kehilangan pendapatan yang besar, juga akan menghambat inovasi teknologi.

Sikap samseng dan bermuka dua yang ditunjukkan politikus AS menconteng arang ke muka sendiri, sedangkan mereka berbangga mendakwa diri terbuka, inklusif dan berkepelbagaian. Andainya keadaan ini tidak berubah, masih relakah bakat utama dunia meletakkan masa depan masing-masing di tangan mereka ini?

Bilamana imej terbuka, inklusif dan berkepelbagaian AS lenyap seluruhnya, gergasi Barat itu sudah pasti akan merosot. Kem Pompeo yang angkuh dan jahil, yang kononnya mahu memastikan terjaganya dasar “Dahulukan AS”dan kepentingan politik melalui pelaksanaan sekatan, akan terlebih dahulu melukai negara dan rakyatnya dengan senjata yang dihunus tangan sendiri.

曹捷