Amaran China terhadap Politikus AS yang Bermain Api di Selat Taiwan

2020-10-29 14:45:15  CRI
Share with:

Selepas rancangan penjualan tiga jenis sistem senjata kepada Taiwan pada minggu lalu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sekali lagi mengumumkan akan menjual 100 unit sistem pertahanan pantai "Tempuling" kepada Taiwan. Jelasnya AS berniat mencipta situasi tegang antara Tanah Besar China dengan Taiwan melalui "penjualan senjata kepada Taiwan" pada tahun pilihan raya negara itu. Mereka mahu memindahkan fokus domestik dengan menunjukkan sikap keras terhadap China, bahkan membendung pembangunan China. Akan tetapi, salah belaka perhitungan mereka.   

Maklumlah, prinsip "Satu China" merupakan dasar politik hubungan China-AS. Isu Taiwan melibatkan kepentingan teras China dan juga masalah yang paling penting dan sensitif dalam hubungan kedua-dua negara. Namun, sejak kerajaan AS penggal ini berkuatkuasa, sesetengah politikus AS selalu menginjak "garis batasan" ini dengan memberikan sokongan kepada Parti Progresif Demokratik (DPP) Taiwan dan kelompok penganjur "kemerdekaan Taiwan" sehingga mengakibatkan ketegangan situasi selat Taiwan makin meruncing. Terutamanya baru-baru ini, AS mengambil beberapa langkah yang melibatkan Taiwan termasuk menugaskan pegawai kanan melawat Taiwan, kapal tentera AS merentasi selat Taiwan dan menjual senjata kepada Taiwan, dengan niat sebenarnya mahu memeras dan mengugut China.    

Walaupun mencintai kedamaian, rakyat China tidak mengizinkan kedaulatan dan kepentingan keselamatan negara dijejaskan. Baru-baru ini, China telah mengambil tindakan balas iaitu menjalankan sekatan terhadap syarikat AS yang menjual senjata kepada Taiwan serta individu dan entiti berkenaan AS yang memainkan peranan penjahat dalam penjualan senjata itu.

China menggesa AS melihat dengan jelas situasi semasa dan hasrat rakyat, membatalkan rancangan penjualan senjata kepada Taiwan dengan serta merta, memutuskan hubungan ketenteraan dengan Taiwan, bahkan menghapuskan angan-angan mat jenin mahu menghalang pembangunan China melalui peningkatan hubungan dengan Taiwan. Rakyat China seramai 1.4 bilion tidak akan membiarkan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara dijejaskan, dan sama sekali tidak mengizinkan sesiapa pun mencabuli dan memecahbelahkan wilayah negara. Pemain api di selat Taiwan yang masih berada dalam angan-angan mat jenin itu pasti akan membayar harga yang dahsyat.

曹捷