China-ASEAN Makin Akrab, Harungi Kesukaran Bersama

2020-11-04 14:07:28  CRI
Share with:

Kementerian Luar China memberitahu bahawa hubungan China-ASEAN bertambah akrab meskipun sedang menghadapi kesulitan akibat pandemik COVID-19.

Jurucakapnya, Wang Wenbin dalam sidang media semalam berkata, usaha melawan COVID-19 di peringkat rantau diterajui Presiden China, Xi Jinping bersama pemimpin negara-negara ASEAN hasil perbincangan mereka menerusi telefon serta mesyuarat khas membabitkan menteri luar.

Jelasnya, kedua-dua pihak telah mewujudkan dua inisiatif iaitu "laluan pantas" bagi memudahkan perjalanan rakyat rentas negara dan "laluan hijau" yang bertujuan melicinkan pengangkutan logistik, di samping mempercepat pemulihan operasi pengeluaran, selain menggalakkan usaha sama membangunkan Jalur dan Laluan. Usaha berkenaan sekali gus menyumbang kepada kestabilan rantai industri dan bekalan serta pemulihan ekonomi serantau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas siri aktiviti interaksi dan kerjasama yang diaturkan kedua-dua pihak dalam masa terdekat.  Ini termasuk aktiviti ketiga tahun 2020 dalam kerangka Forum Jakarta mengenai Hubungan China-ASEAN yang baru berakhir, dan Ekspo China-ASEAN ke-17 yang dijadual berlangsung di Nanning pada hujung November.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan ASEAN terus meningkat, dengan jumlah perdagangan mencecah USD481.8 bilion pada tiga suku pertama tahun ini.

Untuk rekod, angka tersebut merupakan sepertujuh daripada keseluruhan perdagangan luar China dalam tempoh itu. 

张哲