CIIE Penting Untuk Pemulihan Ekonomi

2020-11-05 13:27:52  CRI
Share with:

CIIE Penting Untuk Pemulihan Ekonomi

(Datuk Abdul Majid Khan menghadiri CIIE yang pertama pada 2018)

Saranan Presiden China, Xi Jinping supaya pelbagai negara bekerjasama secara komprehensif bagi menerajui ekonomi global dan mempertingkat perdagangan antarabangsa disifatkan sebagai penting.

Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Abdul Majid Ahmad Khan, lontaran saranan oleh Presiden Xi ketika menyampaikan ucaptama perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketiga pada malam tadi itu adalah bersesuaian dalam konteks iklim global yang muram akibat pandemik COVID-19 ketika ini.  

Selain itu, beliau yang merangkap Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) turut melihat strategi pembangunan baharu yang diperkenalkan China iaitu “dwikitaran” sebagai pemangkin yang akan memberi manfaat kepada dunia.

“Beliau (Presiden Xi) telah memberi penjelasan lebih terperinci tentang rancangan China yang selaku entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, terus memperluas keterbukaan pasaran, dan mempermudah akses kemasukan peniaga asing ke pasaran negara ini”, jelas beliau.

Ketika diminta mengulas mengenai penganjuran ekspo tersebut, Datuk Abdul Majid berpandangan bahawa ia yang dimulakan sejak tahun 2018 terbukti berjaya menjadi platform efektif bagi negara luar dan pengeksport untuk memasarkan produk masing-masing di China.

Jelasnya, atur cara ekspo tersebut yang disusun secara teratur juga telah banyak membantu pengeksport.

"Saya sempat berbual-bual dengan mereka yang telah mengambil bahagian (dalam CIIE), rata-rata peserta berpuas hati dapat menjual dan berpeluang untuk berjumpa dengan pengimport dari China," katanya ketika dalam temu bual dengan Kumpulan Media China (CMG), semalam.

CIIE ketiga yang mengumpulkan peserta dari pelbagai negara dijadual akan berlangsung sehingga 10 November ini di Shanghai, China.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat, penganjuran CIIE turut memberi indikator bahawa globalisasi, perdagangan dan kerjasama antarabangsa adalah penting, khususnya dalam membantu pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19.

Justeru katanya, usaha untuk meneruskan ekspo tersebut, meskipun dalam keadaan yang terhad ketika ini, juga akan membantu kerajaan China mencapai objektif bagi menggalakkan perhubungan antarabangsa dari segi perdagangan seperti dipersetujui dalam sidang pleno kelima Jawatankuasa Pusat ke-19 Parti Komunis China (PKC), baru-baru ini.

Selain itu, Datuk Abdul Majid yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke China (1998-2005) berkata, hubungan yang terjalin antara China dengan ASEAN dalam bidang ekonomi bertambah akrab. Sekiranya ekonomi China tidak begitu baik, ia secara tidak langsung akan memberi tempias kepada negara-negara ASEAN. 

"Data petunjuk ekonomi China untuk separuh tahun kedua 2020 didapati agak memberangsangkan dan ia akan membantu pertumbuhan ASEAN dari segi perdagangan antarabangsa dan pelaburan," ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut menasihati syarikat-syarikat di rantau ini dan juga dunia supaya dapat kekal optimis tatkala mendepani pandemik COVID-19 ketika ini.

Jelas beliau, syarikat-syarikat perlu berfikir secara berinovasi ketika berdagang dan tidak mengikuti saluran tradisional sambil menekankan e-dagang memainkan peranan yang penting.

Pada masa sama, Datuk Abdul Majid turut mencadangkan supaya syarikat-syarikat mempertingkat penggunaan teknologi yang kini jelas terbukti kejayaannya di China sejak beberapa tahun kebelakangan.

"Banyak peluang-peluang lain yang timbul apabila terjadinya situasi baharu (pandemik), sebagai contoh syarikat-syarikat penghantaran, telekomunikasi, e-bayar dan begitu juga dengan syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang sudah menunjukkan kemajuan mereka dalam situasi sekarang," katanya.

周乔西