CIIE Bantu Syarikat Malaysia Tampil di Arena Antarabangsa

2020-11-06 11:56:57  CRI
Share with:

CIIE Bantu Syarikat Malaysia Tampil di Arena Antarabangsa

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) merupakan platform baik untuk syarikat Malaysia terus meneroka pasaran China.

Jelas Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Beijing, Razida Hanim Abdul Razak, mereka juga berpeluang untuk menjalin hubungan perniagaan yang strategik dengan pelbagai syarikat dari negara-negara lain yang turut menyertai ekspo tersebut.

“Walaupun tidak dapat menyertai Pavilion Nasional pada tahun ini, disebabkan kesulitan pergerakan akibat pandemik COVID-19, namun begitu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) tetap berusaha menyelaraskan penyertaan sembilan buah syarikat Malaysia ke ekspo tersebut.”

“Mereka akan mendirikan ruang pameran mereka di Dewan Makanan & Minuman, bagi mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini,” ujar beliau ketika diwawancara oleh Kumpulan Media China (CMG) sempena penganjuran CIIE ketiga baru-baru ini.

Tambah beliau, penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam CIIE adalah pendekatan yang cukup bermakna bagi mempromosikan imej dan jenama produk Malaysia bukan sahaja di China, bahkan juga di arena antarabangsa.

Katanya, ia juga boleh dilihat sebagai sokongan pihak Malaysia kepada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“China komited untuk membuka ekonomi dan pasarannya pada tahap yang lebih tinggi.

“Hal ini dapat dilihat dari usaha kerajaan China dalam menurunkan tarif dan kos transaksi, membangunkan lebih banyak zon perdagangan bebas untuk mempromosikan perdagangan import dengan cara yang kreatif, dan mengimport lebih banyak barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi dari seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa langkah pembukaan China itu akan mendorong ekonomi global, manakala usaha untuk menyeimbangkan perdagangannya akan memberikan keyakinan yang besar kepada syarikat pelbagai negara, khususnya tatkala berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi global.

Ketika menyentuh tentang perkembangan terkini perdagangan dengan China, Razida memberitahu bahawa Malaysia terus menjadi rakan dagang kesembilan terbesar bagi China untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan jumlah perdagangan sebanyak USD92.57 billion, iaitu peningkatan sebanyak 3.2 peratus.

Beliau turut menyanjung usaha sama Malaysia dan China dalam mengatasi kesukaran akibat penularan wabak COVID-19, dan berharap supaya syarikat dari kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor dan bidang seperti ekonomi digital serta inovasi industri dan pertanian moden.

周乔西