Presiden Xi Jinping menyampaikan ucapan video dalam upacara perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-17 dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) semalam. Beliau menyarankan untuk membina Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang lebih rapat dan turut mengemukakan empat cadangan berkenaan.
Sejak beliau menganjurkan untuk membina Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang lebih rapat pada tahun 2013, inisiatif itu menjadi kata kunci dalam kerjasama kedua-dua pihak. Pada tahun ini, China dan ASEAN berganding bahu melawan wabak, di samping meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan. Jumlah perdagangan kedua-dua pihak dalam 10 bulan pertama tahun ini meningkat 7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. China dan ASEAN saling menjadi rakan rdagang paling besar.
Empat cadangan oleh Presiden Xi tersebut ialah meningkatkan kepercayaan strategik dan penyelarasan pelan pembangunan; memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan agar mempercepat pemulihan ekonomi secara komprehensif di rantau ini; meningkatkan inovasi sains dan teknologi serta kerjasama ekonomi digital; dan memperkasakan kerjasama melawan wabak dan meningkatkan pembinaan keupayaan kesihatan awam.
Cadangan tentang ekonomi digital tersebut mengundang perhatian meluas oleh pelbagai pihak. Menurut unjuran Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi, nisbah ekonomi digital dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di ASEAN bakal meningkat daripada 1.3% pada tahun 2015 kepada 8.5% pada tahun 2025. Beliau berpendapat bahawa China di barisan terdapan dalam pembinaan prasarana digital dan menjadi rakan kerjasama yang amat penting bagi ASEAN.