China Sedia Berikan Sumbangan demi Manfaat Umat Manusia

2020-12-18 12:43:40  CRI
Share with:

China Sedia Berikan Sumbangan demi Manfaat Umat Manusia

Prob penyelidikan bulan China, Chang'e-5 yang membawa sampel tanah bulan selamat pulang ke bumi awal pagi Khamis, sekali gus menandakan kejayaan misi pertama negara ini untuk mengambil sampel dari planet lain.

Misi membawa pulang sampel batu dan tanah dari bulan oleh Chang'e-5 merupakan yang pertama dilakukan manusia dalam tempoh empat dekad lalu.

Presiden China, Xi Jinping dalam kawat tahniahnya menegaskan peri pentingnya semangat penyelidikan bulan demi mengejar impian, berani melakukan inovasi, bergabung tenaga mengatasi kesukaran, dan mewujudkan situasi menang-menang. Semangat ini akan mendorong rakyat China terus merungkai misteri alam semesta dan membuat sumbangan demi manfaat umat manusia.

Bermula dari Chang'e-1 yang melabuhkan tirai program penyelidikan bulan ke Chang'e-3 yang membawa prob Yutu buat kali pertama mendarat ke bulan, hingga Chang'e-5 yang berjaya membawa pulang sampel tanah bulan, inilah kejayaan program penyelidikan bulan yang mempunyai tiga fasa, iaitu mengelilingi bulan, melakukan pendaratan di bulan, dan membawa pulang sampel tanah dan batu dari bulan. China negara ketiga yang membawa pulang sampel dari bulan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Misi Chang'e-5 merupakan program paling rumit dan mencabar dalam sejarah program angkasa lepas China, yang turut menyaksikan inovasi dilakukan dalam beberapa teknologi dan mewujudkan "lima kali pertama" iaitu mengambil dan menyimpan sampel dari planet lain, berlepas dari planet bukan bumi dan mengelilingi bulan, menjalankan percantuman dan menyerahkan sampel tanpa kawalan manusia di orbit bulan, membawa sampel bulan ke bumi dengan berkelajuan lepas (escape velocity), mewujudkan sistem penyimpanan dan pengajian sampel bulan China.

Misi Chang'e-5 diberikan tumpuan perhatian tinggi oleh masyarakat antarabangsa. China komited berkongsi sampel bulan dengan negara-negara terlibat berdasarkan prinsip sama rata, penggunaan secara damai dan saling menguntungkan, dan bersedia memberikan lebih banyak sumbangan demi membina komuniti berkongsi nasib sesama insan dalam ruangan angkasa lepas.

覃淼