China Jalankan Inovasi dalam Suasana Terbuka

2020-12-29 15:04:42  CRI
Share with:

Prob penyelidikan angkasa lepas China, Chang'e-5 membawa pulang sampel 'tanah dan batu' dari bulan, kapal selam kendalian manusia (MSV) "Fendouzhe" buatan China direkodkan berjaya menyelam ke dasar laut Parit Mariana sedalam 10,909 meter, prototaip pengiraan kuantum terpantas di dunia yang bergelar 'Jiuzhang' dihasilkan, sistem navigasi satelit global Beidou sudah siap dibentuk, dan sebagainya. Walaupun tahun 2020 merupakan tahun yang luar biasa berikutan perubahan dunia yang tidak pernah berlaku dalam seratus tahun lalu dan tercetusnya wabak COVID-19, tetapi China tetap berjaya mencapai pelbagai hasil sains dan teknologi yang mengagumkan dunia.

Inovasi sains dan teknologi merupakan keperluan China untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang berkualiti tinggi dan juga enjin utama bagi masyarakat China yang bertungkus-lumus menghapuskan ranjau duri.

Dengan adanya jaringan 5G, keberkesanan perubatan jarak jauh dapat ditingkatkan. Dengan adanya pengiraan data besar, mereka yang berpotensi terjangkit penyakit boleh dikesan. Dan dengan adanya pelbagai jenis teknologi yang hebat dan mengujakan dalam menangkis COVID-19, China merupakan negara yang paling awal berjaya mengawal wabak dan memulihkan pengeluaran dan pengoperasian semula. Kesemua ini adalah kemajuan yang tercapai China dalam bidang inovasi sains dan teknologi.

Namun, seiring dengan kebangkitan amalan unilateralisme dan perlindungan dari seluruh pelosok dunia pada tahun ini, China semakin menyedari bahawa teknologi utama tidak dapat diperolehi melalui permintaan, pembelian dan peminjaman. Hanya dengan memperhebat penyelidikan dan pengeluaran negara sendiri, barulah dapat menjamin keselamatan negara dari peringkat asasnya. Membangunkan sains dan teknologi ke arah yang kuat dan berdikari adalah strategi teras pembangunan China.

Inovasi secara berdikari yang dilaksanakan China tidak bermakna negara ini akan menutup pintu terhadap dunia, sebaliknya akan menjalankan inovasi dalam suasana terbuka. Pada bulan Jun lalu, penempatan satelit sistem navigasi satelit global Beidou telah berjaya diselesaikan. Sekarang terdapat lebih 50% negara di dunia mula menggunakan sistem itu. Industri Beidou dan industri sampingan dipercayai akan memicu pembangunan ekonomi negara-negara terbabit dan mencipta ruang pembangunan baharu. Selain itu, China menyatakan akan berkongsi sampel 'batu dan tanah' yang dibawa pulang oleh Chang'e-5 dengan agensi dan ahli sains pelbagai negara yang sehaluan agar meningkatkan pengetahuan seluruh dunia terhadap angkasa lepas.

China yang bakal memasuki fasa pembangunan baharu, akan terus menjana pembangunan berkualiti tinggi dengan bergantung kepada inovasi sains dan teknologi, sekali gus menyediakan lebih banyak hasil yang boleh dikongsi dengan negara lain supaya membantu dunia ini secepat mungkin keluar dari awan mendung.  

曹捷