Prestasi Dagangan China Impresif

2021-01-15 13:49:50  CRI
Share with:

China mencatatkan prestasi dagangan memberangsangkan bagi 2020 dengan menyaksikan kenaikan paling tinggi dalam jumlah keseluruhan import dan eksport serta bahagian pasaran antarabangsa sepanjang tahun lepas, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Disumbang oleh kegiatan ekonomi yang kembali rancak, perdagangan luar China yang pernah mengalami kemeruduman drastik pada suku pertama tahun lalu, melantun semula dengan peningkatan skala import dan eksport.

Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) mencatatkan jumlah keseluruhan import dan eksport dagangan barangan sebanyak 32.16 trilion yuan (RM20 trilion) pada 2020, meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi tersebut turut menjadikan negara itu satu-satunya entiti ekonomi dunia yang menyaksikan pertumbuhan positif dalam perdagangan barangan.

Terutamanya, aktiviti eksport China banyak dirangsang oleh permintaan yang makin meningkat warga serata dunia terhadap peralatan perubatan dan produk-produk lain buatan negara itu.

Tatkala pandemik COVID-19 berleluasa di seluruh dunia, ekonomi “memerap di rumah” atau “stay-at-home economy” muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Produk buatan China seperti komputer riba yang dieksport ke negara-negara lain meraih pertumbuhan yang memberangsangkan, dengan memenuhi permintaan mereka yang bekerja dari rumah semasa wabak.

Dari perspektif import pula, China yang sinonim dengan kelebihan pasaran lebih besar menjanjikan dunia peluang pembangunan yang besar. Laporan Reuters berbunyi, prestasi ekonomi negara itu yang pulih pantas sejak Disember lepas merangsang permintaannya terhahap produk-produk luar negeri, dengan kadar pertumbuhan import jauh menjangkaui jangkaan dahulu.

Pendek kata, prestasi dagangan China tersebut bukan sahaja memperlihatkan ekonomi negara itu yang berkemampuan menahan risiko, malah memacu pemulihan rantai perindustrian dan rantai bekalan global.

Sepanjang tempoh tahun baharu ini, China akan terus menegakkan globalisasi ekonomi, mengoptimumkan fungsi dirinya sebagai kuasa dagangan barangan terbesar, dan menyuntik tenaga kepada pemulihan ekonomi global.

董筱娉