Bach: China Siap Sedia Sambut Atlet Seluruh Dunia

2021-02-07 13:11:29  CRI
Share with:

 

China sudah bersiap sedia menyambut kedatangan atlet bertaraf paling tinggi dari seluruh dunia untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Demikian dinyatakan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dalam surat tahniah yang diutus kepada Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong, sempena kira detik setahun menjelang temasya itu akhir-akhir ini.

Mengimbas kembali perbualan dengan Presiden Xi Jinping menerusi telefon baru-baru ini, Bach berkata, selepas meninjau gelanggang dan stadium berkenaan, Presiden Xi telah menyatakan keyakinan terhadap penganjuran Olimpik 2022 dengan jayanya, di samping menegaskan sokongan terhadap temasya berprestij itu.

"Pelbagai kerja persiapan dari segi teknikal yang dilakukan China amat memuaskan. Biarpun berdepan cabaran ekoran penularan COVID-19, kami (IOC) yakin China sudah bersiap sedia," tegas beliau.

Menyentuh kerja persiapan untuk Sukan Olimpik di Tokyo pula, Bach memberitahu bahawa dengan usaha bersama pelbagai pihak, temasya itu diyakini akan dirasmikan pada 23 Julai nanti, disusuli Sukan Paralimpik pada 24 Ogos.

Katanya, tiada alasan untuk meragui perkara ini. Persoalannya ketika ini adalah bagaimana menganjurkan temasya tersebut.

Beliau turut memberikan penghargaan terhadap sokongan masyarakat antarabangsa kepada kedua-dua sukan Olimpik tersebut.

张哲