Perbualan Pemimpin China, AS Beri Mesej Positif

2021-02-12 12:54:56  CRI
Share with:

Perbualan telefon Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Khamis mencuri perhatian ramai, selepas dua pemimpin itu bertukar pendapat tentang hubungan bilateral serta isu-isu penting di peringkat rantau dan global.

Perbualan mereka memberikan mesej dan gambaran positif kepada dunia bahawa dua buah kuasa besar itu berkeinginan tinggi untuk membaiki hubungan dua hala.

Xi dalam perbualan itu sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kerjasama adalah satu-satunya pilihan yang tepat. Menurut beliau, adalah jelas sekali China dan AS dapat saling untung jika bekerjasama, dan sebaliknya akan rugi jika bersengketa.

Hubungan dua hala yang kembali berada di landasan yang betul bukan sahaja sepadan dengan kepentingan bersama, bahkan bermanfaat kepada pembangunan masing-masing.

Selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dua buah entiti ekonomi terbesar itu harus memikul tanggungjawab dalam usaha menggalakkan pembangunan dunia secara damai.

Oleh itu, dunia menaruh harapan tinggi terhadap panggilan telefon dua pemimpin tersebut.

Seperti yang ditegaskan Presiden Xi, kolaborasi China dan AS bakal menjanjikan manfaat untuk kedua-dua negara malah dunia, dan konfrontasi sebaliknya akan menyebabkan malapetaka.

Xi meluahkan harapan agar dua negara itu dapat menyumbang bagi pembangunan dan kedamaian dunia.

Di depan mata dunia, pembuat dasar China dan AS diharapkan supaya bertindak lebih tegas dan cekap dalam mengendalikan hubungan bilateral.

AS dikehendaki menepati janji dan melaksanakan seperti yang dinyatakan sepanjang berlangsungnya perbualan berkenaan, sekali gus bergerak sehaluan bersama China memastikan hubungan dua hala dibawa keluar daripada kemelut.

Ini bukan sahaja selaras dengan kepentingan bersama, malah aspirasi masyarakat antarabangsa.

董筱娉