JCPOA, Hasil Penting Diplomasi Multilateral

2021-02-19 15:23:12  CRI
Share with:

Menteri luar Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat (AS) membincangkan isu nuklear Iran dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Paris semalam.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas dan Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab menghadiri sidang secara fizikal, manakala Setiausaha Negara AS, Antony Blinken hadir menerusi pautan video.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan setelah sidang itu, keempat-empat negara menegaskan adanya kepentingan keselamatan yang sama dalam melindungi sistem pengawalan senjata nuklear dan memastikan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear.

Menurut kenyataan tersebut, Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang juga dikenali perjanjian nuklear Iran merupakan pencapaian penting dalam diplomasi multilateral.

Perancis, Jerman dan Britain mengalu-alukan hasrat AS yang mahu memulihkan interaksi dengan Iran melalui saluran diplomatik,  serta menyambung semula dialog mendalam dengan tiga negara tersebut.

Menteri luar keempat-empat negara juga mengesahkan akan terus mengadakan rundingan dan penyelarasan dengan China serta Rusia melibatkan isu nuklear Iran. Wakil Kanan Kesatuan Eropah (EU) bagi Dasar Luar dan Keselamatan diharap terus memainkan peranan yang sewajarnya dalam hal ini.

Reuters melaporkan, kerajaan Joe Biden pada Khamis telah menarik balik kenyataan mengenai penguatkuasaan semula sekatan PBB terhadap Iran yang dikeluarkan semasa pemerintahan Donald Trump.

Pada masa yang sama, AS menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan dengan Iran berhubung perjanjian nuklear.

Dalam pada itu, Antony Blinken mengulangi pendirian bahawa pihaknya akan kembali ke JCPOA sekiranya Iran mematuhi perjanjian berkenaan.

张宪